Khalid: Sanjeevan pernah hubungi saya, hinggalah…

Share This:

Ketua Polis Negara berkata Datuk R Sri Sanjeevan adalah rakannya suatu ketika dulu.

Malah kata Tan Sri Khalid Abu Bakar, Sanjeevan pernah menghubunginya sehinggalah keadaan berubah apabila polis mengambil tindakan ke atas pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) itu.

“Ia sama dengan Sanjeevan. Saya mengenali beliau dan dia pernah menghubungi saya.

“Tetapi selepas mengetahui (dakwaan) aktiviti haramnya kami mengambil tindakan ke atasnya.

“Beliau kini bermusuhan dengan saya, dan membuat pelbagai dakwaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Khalid berkata demikian semasa mengulas laporan Sarawak Report mengenai penahanan seorang suspek utama kes rasuah dan perlindungan judi tanpa lesen serta rumah urut di Melaka.

Khalid mengakui suspek utama terbabit adalah kenalannya.

Menurut Sarawak Report suspek berkenaan, Gopinathan Krishnan, 50, pernah berhubung terus dengannya menerusi telefon.

Kata Khalid, selain Gopinathan beliau juga mengenali Sanjeevan.

Menurut Khalid, ketika menghadiri pelbagai majlis atau mesyuarat beliau bertemu dengan pelbagai orang dan sesetengah mereka menyatakan minat membantu polis memerangi jenayah.

“Jadi kami bertukar-tukar nombor telefon dan berhubung. Dalam sesetengah kes orang ini ada niat tersembunyi dan menyalahgunakan nama saya untuk kepentingan peribadi.

“Kecuali dibuktikan saya mendapat faedah daripada aktiviti haram mereka – sama ada dalam bentuk wang atau sebagainya – tak ada apa yang perlu saya jelaskan,” katanya.

Namun Khalid mengakui timbul isu persepsi ekoran hubungan beliau dengan orang tertentu itu.

“Tetapi persepsi tidak menyebabkan seseorang itu bersalah. Mari kita lihat jika penyiasat boleh kaitkan saya dengan apa-apa,” katanya.

Pada 25 April lalu Mahkamah Majistret Kajang membebaskan Sanjeevan daripada tuduhan pemerasan.

Pada 27 Oktober tahun lalu pula Sanjeevan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan membuat kenyataan menghina Khalid di Facebooknya.

Sanjeevan juga – pada 25 Ogos 2016 – mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mengelirukan seorang pengarah syarikat berhubung kelayakan akademiknya.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*