#PRKN74Pujut : SPR Tetapkan 4 Julai Hari Pengundian

Share This:

Teka teki berhubung tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi DUN N74 Pujut akhirnya terjawab hari ini. Dalam satu sidang media tengah hari tadi, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan 4 Julai adalah tarikh mengundi bagi DUN berkenaan.

Beliau berkata, mesyuarat khas hari ini juga menetapkan 20 Jun sebagai hari penamaan calon bagi DUN berkenaan. Ini bermakna, tempoh berkempen pada kali ini akan memakan masa selama dua minggu dan lebih menarik lagi, tempoh berkempen ini turut bertindih dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 25 Jun.

Untuk rujukan, kerusi DUN N74 Pujut kosong susulan bekas penyandangnya Dr Ting Tiong Choon dari DAP dilucutkan kelayakan sebagai ADUN dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 12 Mei lepas kerana didakwa melanggar Pasal 17 (1) (G) Perlembagaan Sarawak.

Perlucutan kelayakan tersebut berpandukan Pasal 17 (1) (G) Perlembagaan negeri Sarawak yang menyatakan seseorang tidak layak dipilih menjadi ahli dewan undangan negeri (ADUN) sekiranya pernah, antara lain, secara sukarela mendapatkan kewarganegaraan atau menggunakan hak warganegara di mana-mana negara di luar persekutuan atau telah mengisytiharkan taat setia kepada mana-mana negara di luar persekutuan.

Dr Ting menyandang kerusi DUN Pujut sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak selepas menang majoriti sebanyak 1,759 undi dalam pertandingan empat penjuru membabitkan calon DAP, BN, PAS dan seorang calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei 2016.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*