PALSU : Malam Nisfu Sya’ban, Buku Catatan Amalan Ditutup

Hakikatnya, tiada dalil atau keterangan ulama bahawa BUKU CATATAN AMALAN ditutup di malam Nisfu Sya’ban atau ketika bulan Sya’ban.

Juga tiada dalil atau keterangan ulama bahawa perlu perbanyakkan amalan di pertengahan Sya’ban. Mungkin mereka yang kata adanya amalan Nisfu Sya’ban tersebut berdalilkan hadis ini:

Nabi sallallahu alaihi wa sallam bersabda,

ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ، وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

“Ini adalah bulan yang sering dilalaikan ramai orang, bulan antara Rejab dan Ramadhan. Ini adalah bulan di mana amal-amal diangkat menuju Rab semesta alam. Dan aku ingin ketika amalanku diangkat, aku dalam keadaan berpuasa”. [HR. An Nasa’i 2357, Ahmad 21753, Ibnu Abi Syaibah 9765 dan Syuaib Al-Arnauth menilai Sanadnya hasan]

Hadis ini adalah bukti salah satu hadis yang menyatakan amalan diangkat ke langit. Tidak dinyatakan pun amalan diangkat di pertengahan Sya’ban. Hakikatnya amalan kita sentiasa akan diangkat ke langit, bukan hanya ketika di bulan Sya’ban sahaja. Hadis lain yang menunjukkan waktu amalan diangkat ke langit:

Dari Abu Hurairah radhiyallahuanhu, Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda,

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِى وَأَنَا صَائِمٌ

“Berbagai amalan dihadapkan (pada Allah) pada hari Isnin dan Khamis, maka aku suka jika amalanku dihadapkan ketika aku sedang berpuasa”. [HR. Tirmidzi no. 747. At Tirmidzi mengatakan bahawa hadis ini hasan ghorib. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahawa sanad hadis ini hasan. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih lighoirihi iaitu sahih dilihat dari jalur lainnya]

Selain itu, hadis di atas juga tidak menyatakan pengkhususan amalan tertentu di pertengahan Sya’ban atau malamnya. Pilihlah mana-mana hari untuk beribadat atau beribadatlah sebulan penuh jika mahu.

Ada satu sahaja hadis sahih berkenaan Nisfu Sya’ban, yang lain dhaif atau mungkin palsu;

عن أبي موسى الأشعري عبدالله بن قيس:
((إنَّ اللهَ لَيَطَّلِعُ في ليلةِ النِّصفِ من شعبانَ، فيَغفِر لجميعِ خلقِه إلا لمشركٍ أو مُشاحنٍ)).

“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik dan yang bermusuhan. [HR Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma’arf, Riyadh].

Oleh itu, hadis ini jelas memberitahu Allah mengampunkan dosa-dosa hamba-hambaNya kecuali orang musyrik atau yang bermusuhan. Tidak diajarkan pengkhususan amalan tertentu atau fadhilat amalan tertentu. Sebenarnya, tiada pun istilah BUKU CATATAN AMALAN ditutup. Bila mati baru tutup buku. Selagi hidup kena beramal.

Allahua’lam.

-pru14.tv-

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*