Perwakilan Pahang Kata Pemimpin UMNO Di Jerantut Sedia Sokong PAS PRU14?

Share This:

Hari ini, muktamar hari kedua bermula sedikit muram selepas insiden angin kencang yang merobohkan khemah di kawasan Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, di Kota Sarang Semut mencacatkan sikit suasana perhimpunan.

Bagaimanapun, pelbagai cerita menarik timbul dari ucapan para perwakilan negeri yang membahaskan ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.

Perwakilan dari PAS Pahang, Yohanis Ahmad ketika berucap memperkatakan sesuatu yang menarik apabila mengatakan ada pemimpin UMNO cawangan di Jerantut, Pahang telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Bagaimanapun, timbul spekulasi adakah pemimpin berkenaan menyokong PAS untuk membantu PAS mengalahkan Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan yang boleh dianggap satu perbuatan yang kurang elok dalam politik.

Dalam ucapan beliau juga, Yohanis mengatakan bahawa UMNO kini didakwa memuji kesungguhan PAS membawa risalah dakwah berkaitan agama Islam.

“Mereka kagum dengan pimpinan PAS yang berjuang menegakkan Islam kaum Melayu dan kini mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera,” katanya.

Sementara itu, perwakilan dari negeri Kelantan, Datuk Abdullah Yaakob pula mengatakan PAS tetap melayan semua kaum lain termasuk kaum Cina dengan baik biarpun ada pertelagahan dengan DAP.

“Kita bertelagah dengan DAP tetapi dengan kaum Cina yang lain kita menerima mereka sebab itu di dalam PAS masih ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP),” katanya.

Hari ini, kawasan khemah menempatkan gerai-gerai usahawan tempatan telah ditutup dengan tali pita keselamatan polis selepas insiden angin kencang yang telah menyebabkan pengunjung cedera petang semalam.

Kawasan itu ditutup terus bagi mengutamakan keselamatan orang ramai yang berpusu-pusu mahu ke belakang kompleks melihat keadaan khemah yang runtuh selepas ditiup angin. – pru14.tv

 

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*