MCCF : 25 Pasangan Disatukan

Semalam, seramai 25 pasangan dinikahkan dalam program Jom Nikah@Putrajaya anjuran Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA).

Pengerusinya Halim Ishak berkata, setiap pasangan yang menyertai program itu hanya dikenakan bayaran sebanyak RM4,500 merangkumi pakej lengkap membabitkan andaman, fotografi, majlis resepsi, belayar menaiki Cruise Tasik dan kenduri.

Katanya, sasaran utama adalah pasangan yang mempunyai pendapatan di bawah RM5,000.

“Matlamat utama program ini diadakan bagi mengelakkan pasangan terutama lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) yang ingin mendirikan rumah tangga tidak terbeban dengan hutang.

“Seperti yang diketahui kos untuk mengadakan majlis perkahwinan ketika ini amat mahal dan boleh mencecah antara RM30,000 hingga RM40,000, pastinya jumlah ini amat membebankan kepada pasangan muda,”katanya ketika ditemui media selepas majlis akad nikah di MTMZA.

Turut hadir Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Yaakub Rahim mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki.

Pasangan itu dinikahkan enam jurunikah, sebelum diraikan dengan pelayaran menaiki Cruise Tasik menuju ke Anjung Floria, Presint 4 untuk majlis resepsi.

Pada masa sama, Halim berkata, ia juga bertujuan mengalakkan anak muda supaya tidak bercinta terlalu lama bagi mengelakkan mereka terbabit dalam maksiat.

Menurut beliau, pihaknya sudah lima kali menganjurkan program Jom Nikah di Kuantan, Pahang, tetapi ini pertama kali diadakan di Putrajaya.

-pru14.tv-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *