Gejala Rempit Berjaya Dikurangkan Di Terengganu

Share This:

Sejak tahun lalu, Terengganu berjaya mengurangkan gejala rempit setelah melancarkan pelbagai program membabitkan golongan itu termasuk sukan permotoran di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kemudahan yang disediakan di litar itu juga telah dimanfaatkan sepenuhnya termasuk surau yang kini dipenuhi golongan muda sebelum memulakan perlumbaan.

“Litar ini bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk memastikan Terengganu hebat dalam sukan permotoran tetapi ia juga bagi membendung gejala tidak sihat seperti samseng jalanan sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Bukan senang untuk mencapai sifar rempit namun hampir 95 peratus kita dapat mengatasinya dan ini merupakan kejayaan yang besar jika dapat diatasi untuk jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Terengganu Drag Battle 2017,di sini, malam tadi yang menghimpunkan lebih 2,000 peminat sukan permotoran.

Litar yang menelan belanja RM12.6 juta yang mula dibina pada tahun lalu itu telah mendapat pengiktirafan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan dilengkapi dengan litar Cub Prix sepanjang 1.35 kilometer, sprint test sepanjang 0.95 km, drift dan tiga kategori Grand Stand.

Sementara itu dalam ucapannya, Ahmad Razif berkata, susulan pembinaan litar tersebut, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada golongan muda untuk menerokai sukan permotoran dan berharap ada dalam kalangan rakyat negeri ini mampu menempa nama sehingga di persada antarabangsa.

“Insya-Allah dengan adanya litar baharu ini, kita boleh adakan kejohanan permotoran bertaraf negeri dan antarabangsa dengan boleh memuatkan sehingga 25,000 penonton pada satu masa.

“Anak Terengganu ini bukan calang-calang orangnya kita berjaya mengungguli sukan hoki menerusi Terengganu Hoki Team, begitu juga sukan basikal,memanah dan silat. Jadi dengan adanya lapangan ini tidak mustahil kita mampu melahirkan jaguh dalam sukan permotoran,” katanya.

Menurutnya, mugkin suatu hari nanti akan muncul pasukan dalam sukan permotoran dalam kalangan anak Terengganu, sebagai contoh Mohammad Harith Farhan Baharin yang mewakili negara dalam Asia Road Racing Championship (ARRC).

Sementara itu, Terengganu juga mempuyai pelumba cilik Qabil Irfan Azlan,5, yang digelar “Valentino Rossi Junior” dan dinobat sebagai ikon anak muda permotoran.

-UM

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*