Siri Muktamar PAS Secara Rasmi Bermula Hari Ini Di Alor Setar, Kedah

Share This:

Muktamar Tahunan PAS 2017 secara rasminya bermula hari ini dan ia disifatkan sebagai perhimpunan paling penting parti Islam itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Ia diadakan di Alor Setar, Kedah di Kompleks PAS yang terletak di tengah sawah di jalan menuju ke Alor Setar dari Sungai Petani.

Perhimpunan kali ini penting kerana PAS dijangka akan mengumumkan dua keputusan iaitu status hubungan dengan PKR di Selangor sama ada ia akan diteruskan atau sebaliknya.

Ahli-ahli PAS di seluruh negara kebanyakannya sudah mula mendesak supaya PAS memutuskan hubungan dengan PKR kerana PKR masih bekerjasama erat dengan dua musuh PAS iaitu DAP dan PAN.

Di Selangor, jika hubungan itu putus, PAS akan menjadi pembangkang di Selangor bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN).

Tiga exconya perlu meletak jawatan dan semua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu keluar dari kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali iaitu Timbalan Presiden PKR.

Menteri Besar juga bimbang andai PAS memutuskan hubungan dengan PKR kerana hayat politik beliau amat bergantung kepada penyokong-penyokong PAS di Selangor.

Perkara kedua yang akan diputuskan sepanjang muktamar di Kedah ialah usul untuk memulakan kerjasama dengan UMNO dan BN.

Bagaimanapun, ia dianggap sebagai satu kerjasama terhad berdasarkan faktir setempat dengan parti pemerintah itu.

PAS Pulau Pinang dijangka ‘menghulurkan salam’ kepada UMNO/BN secara rasmi dalam Muktamar PAS di Kedah hujung minggu ini berkaitan perkara tersebut.

Waqi’ atau faktor setempat adalah antara perkara yang perlu diambilkira dalam mengatur strategi.

Namun waqi’ atau keadaan semasa di Pulau Pinang tidak boleh dilaksanakan tanpa difahami oleh ahli-ahli PAS di seluruh negara.

Inisiatif ini digerakkan oleh PAS Pulau Pinang atas dasar waqi’ atau faktor setempat tadi. DAP bahaya kepada Islam dan ketara memusuhi Islam.

Sedangkan DAP sukar ditumbangkan dengan hanya sekadar ahli-ahli PAS memberi undi kepada calon bukan dari DAP/PH di tempat PAS tidak bertanding.

Tiga sayap PAS masing-masing bersidang hari ini tanpa menyaksikan pertandingan jawatan utama untuk sesi 2017-2019.

Pembersihan daripada perebutan jawatan dilakukan perwakilan PAS pada tahun 2015 di Kuala Selangor dengan menyapu bersih golongan profesional dan liberal dalam parti itu.

Pada pemilihan kali ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kekal dengan jawatan asal sebagai presiden dan timbalan presiden.

Begitu juga Datuk Dr. Mahfodz Mohamad, Datuk Dr. Nik Zawawi Mohd. Salleh dan Datuk Dr. Johari Mat kekal sebagai Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua Dewan Ulamak Pas (DUPP).

Persidangan sesi ini juga turut menyaksikan Nurdah Salleh, Dr. Rosni Adam dan Salamiah Mohd Noor menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua Dewan Muslimat Pas (DMPP).

Bagaimanapun berlaku sedikit perubahan dalam carta organisasi jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) apabila Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengundur diri untuk memberi laluan kepada Muhammad Khalil Abdul Hadi sebagai ketua diikuti Khairil Nizam Khiruddin (timbalan ketua) dan Ahmad Fadhli Shaari (naib ketua).

Ketiga-tiga barisan baru pemimpin Dewan Pemuda ini menang tanpa bertanding tanpa dicabar selepas tamat tempoh penerimaan calon pada 17 April lalu.

Pertandingan hanya berlaku di peringkat perebutan jawatan Naib Presiden dan barisan Ahli JawatanKuasa DUPP, DMPP dan DPPP.

Hanya seorang pencabar menawarkan diri bertanding merebut jawatan Naib Presiden, iaitu Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Hassan manakala Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan menarik diri daripada senarai pencalonan pada 11 April lalu.

Penyandang Naib Presiden Pas yang akan mempertahankan jawatan itu ialah Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Sama ada ketiga penyandang ini kekal atau berlaku perubahan salah seorang daripada mereka, akan ditentukan oleh kira-kira 1,200 perwakilan pada 29 April hingga 1 Mei ini. –  pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*