Muktamar PAS Ke63 : Penentu Pendirian PAS Menuju PRU14

Share This:

Beberapa hari lagi, Muktamar PAS kali ke 63 bakal berlangsung di Alor Setar, Kedah. Bagi pemerhati politik, muktamar ini dilihat cukup penting bagi menentukan hala tuju politik PAS bagi mengharungi Pilihan Raya Umum ke 14 kelak. Inilah detik penentu pendirian pemimpin PAS samada masih mahu mengekalkan pendirian sendiri atau bekerjasama dengan mana-mana parti politik yanga ada.

Tidak dinafikan, sejak tertubuhnya PAS pada tahun 1951, PAS hari ini berhadapan dengan cabaran politik yang benar-benar menguji kemampuannya untuk kekal relevan dalam kancah politik negara. Satu ketika dahulu, PAS dikenali sebagai sebuah parti berteraskan Islam dengan memperjuangkan kewujudan negara Islam sepenuhnya dengan sokongan ahli yang tidak pernah berbelah bahagi.

Namun, sebaik sahaja menyertai Pakatan Rakyat pada 2008, perpaduan di dalam PAS akhirnya berjaya dipecahkan oleh rakan sekutunya sendiri, DAP. Pastinya ramai ahli PAS tidak akan melupakan tarikh 16 September 2015 apabila hampir separuh ahli PAS yang lebih liberal dan profesional, bertindak meninggalkan PAS dan seterusnya menubuhkan PArti Amanah Negara (PAN) yang ditaja oleh DAP.

Sejak itu, PAS berada dalam keadaan yang benar-benar mencabar. Lebih malang lagi, kepimpinan ulama menerusi Datuk Seri Abdul Hadi Awang di cerca dan dicemuh ahli sendiri akibat wujud perpecahan yang beliau sendiri tidak ingini. Bagi mengelakkan PAS terus tertekan, akhirnya jalinan parti berkenaan dengan Ikatan Malaysia diwujudkan bagi menstabilkan semula PAS dari terus diancam kemusnahan.

Hari ini, PAS sudah mampu berdiri semula. Secara tiba-tiba, PAS menjadi parti yang cukup didambakan oleh Pakatan Harapan yang diterajui oleh musuh PAS sendiri, DAP. Sepanjang tahun lalu, PPBM dan PKR dilihat cuba mempengaruhi PAS untuk melihat satu lagi gabungan wujud antara PPBM, PKR, PAN, DAP dan juga PAS.

Dalam hal ini, PAS sudah menyedari bahawa kesemua parti itu mempunyai agendanya yang tersendiri. Sudah tentu, Pakatan Harapan cukup menagih sokongan ahli PAS untuk memenangkan calon-calon mereka pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak. Mereka sedar, tanpa ahli PAS, adalah sesuatu yang sukar untuk mereka mengekalkan penguasaan 89 buah kerusi Parlimen disamping kemungkinan pertembungan 3 penjuru akan berlaku.

Bertitik tolak dari sinilah, Muktamar PAS kali ke 63 ini menjadi tumpuan pengamal politik tempatan. Masing-masing tertanya-tanya, adakah PAS masih kekal mahu menjalinkan tahalu siyasi mereka dengan PKR? Adakah akar umbi PAS mengambil keputusan untuk menyertai blok Pakatan Harapan atau kembali bergabung semula dengan UMNO dan Barisan Nasional bagi PRU ke 14 nanti?

Sehingga hari ini, suara-suara akar umbi semakin lantang kedengaran yang mahu PAS memutuskan terus hubungan dengan PKR samada diperingkat kepimpinan tertinggi atau di negeri Selangor. Apa yang menariknya, adakah kepimpinan PAS akan mengambil keputusan yang selari dengan kemahuan akar umbi? Andai ini berlaku, bagaimana nasib pemimpin PAS yang masih kekal menjadi Exco dalam kerajaan negeri Selangor?

Satu lagi perkara yang menarik perhatian adalah, adakah PAS cukup selesa mentadbir hanya sebuah negeri sahaja? Tidak adakah cita-cita tinggi PAS untuk menawan negeri-negeri lain? Bagaimana pula kedudukan pemimpin-pemimpin PAS yang bakal bertanding pada PRU ke 14? Adakah PAS mampu menerima asakan demi asakan yang dilemparkan oleh beberapa parti di dalam Pakatan Harapan?

Kupasan selanjutnya esok akan memperlihatkan jangkaan-jangkaan awal kedudukan pemimpin utama PAS bagi mengharungi PRU ke 14 kelak. Apapun, terlalu banyak persoalan yangs edar berlegar-legar mengenai kemampuan PAS untuk kekal relevan dan seterusnya merencana masa hadapan parti itu, bukan sahaja untuk PRU 14, tetapi bagi menempuh tahun-tahun yang mendatang.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*