Lelaki Dari P.Pinang Disyaki Anggota Utama Sindiket Dadah

Share This:

BANGKOK: Warga Malaysia dari Pulau Pinang yang disyaki anggota utama sindiket dadah, digambarkan sebagai seorang yang kejam, tidak pernah teragak-agak untuk menghukum termasuk menyeksa mana-mana anggota sindiket itu yang gagal menjalankan tugas mereka.

Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi dua hari lepas oleh pasukan polis bersenjata Thailand sebelum menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

Menurut sumber polis Thai yang terlibat dalam soal siasat lelaki Pulau Pinang itu, lelaki berkenaan memukul dan menyeksa rakan kepada dua anggota sindiket itu yang gagal dalam cubaan mereka menyeludup dadah ke Malaysia hujung tahun lepas.

“Dia memukul dan menyeksa rakan (anggota sindiket) mereka dan menghantar imej penyeksaan yang mengerikan itu menerusi telefon pintar kepada dua anggota sindiket itu selepas mengetahui mereka gagal menyeludup dadah ke Malaysia,” kata sumber itu kepada Bernama, Rabu.

Dua anggota sindiket dari Malaysia itu telah ditahan polis Thai pada Disember tahun lepas di Chumphon, selatan Thailand bersama-sama 140 bar heroin seberat 52.4 kilogram (kg) dan kristal methamphetamine 41.9kg yang disembunyikan di dalam kereta mereka.

Destinasi terakhir dadah itu sepatutnya di Pulau Pinang, kata anggota sindiket rakyat Malaysia itu.

Polis katanya, tahu bahawa kereta yang digunakan dua rakyat Malaysia untuk membawa dadah itu dibeli oleh lelaki Pulau Pinang tersebut di Bangkok, dan menambah lelaki itu juga dikaitkan dengan penemuan 87kg ice di sebuah rumah di Hatyai pada Januari lepas.

“Penahannya (di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi) dua hari lepas merupakan kemuncak kepada usaha polis sejak hujung tahun lepas,” katanya dan menambah lelaki itu berada di bawah pengawasan pihak berkuasa sejak dia tiba di Thailand kira-kira dua minggu lepas.

Sumber itu berkata, lelaki Pulau Pinang itu fasih berbahasa Thailand dan mempunyai sebuah kondominium eksklusif di Bangkok yang dikongsi bersama teman wanitanya, serta membawa pistol semasa berada di Thailand untuk melindungi dirinya daripada sebarang ancaman.

“Dia juga mempunyai kad pengenalan Thai yang palsu, lelaki itu menjalani kehidupan mewah semasa berada di Thailand,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, lelaki Pulau Pinang terbabit berada di daerah Fang di Chiang Mai, utara Thailand baru-baru ini untuk memesan dadah tetapi rundingan dengan pihak yang tidak dikenali itu gagal, menyebabkan dia menaiki penerbangan pulang ke Bangkok seterusnya ditahan polis Thai dua hari lepas.

Sumber itu berkata suspek juga mengaku dia pergi ke Thailand sekurang-kurangnya 10 kali setahun untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

Selain itu, semasa soal-siasat dia mengaku telah terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah selama lebih 20 tahun dan telah dipenjarakan oleh pihak berkuasa Malaysia dua kali bagi kesalahan berkaitan dadah.

Lelaki itu dibawa ke Mahkamah Jenayah pada Rabu diiringi pihak polis, untuk direman.

Selain penahanan lelaki Pulau Pinang itu, polis Thai juga berjaya membuat satu lagi tangkapan berprofil tinggi terhadap seorang warga Malaysia digelar ‘Mr T’ dari Johor, di Lapangan Terbang Hatyai Rabu lepas yang juga disyaki anggota sindiket dadah antarabangsa.-Bernama

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*