Adakah Mereka Sudah Mula Merindui Suasana Muktamar PAS?

Share This:

Seperti lazimnya, ketika kita berada di dalam satu-satu organisasi, kita mungkin kurang menghargai organisasi berkenaan. Namun, apabila kita sudah tidak lagi berada di dalam organisasi berkenaan, boleh dikatakan, hampir setiap hari kita akan merindui suasana organisasi berkenaan. Tambahan pula jika organisasi berkenaan mengadakan perhimpunan besar bagi mengumpul semua ahlinya.

Inilah yang berlaku terhadap beberapa orang pemimpin Parti Amanah Negara (PAN). Kira-kira dua tahun yang lalu, setelah tewas dalam pemilihan Muktamar PAS ke 61, beberapa orang pemimpin liberal di dalam PAS bertindak menubuhkan PAN hasil dari tajaan DAP. Tujuannya mudah, mahu menghancurkan PAS dari segenap sudut yang mereka ada.

Namun, setelah dua tahun usaha berkenaan dilakukan, ianya nyata sia-sia. PAS masih kekal mampu berdiri walaupun hampir separuh ahlinya bertindak meninggalkan parti itu untuk bersama-sama pemimpin yang telah mengkhianati PAS.

Apa yang menariknya, pada Muktamar PAS kali ke 63 kali ini, sudah ada riak-riak yang menunjukkan para pemimpin ini sudah mula merindui suasana muktamar. Memang benar-tidak ada kenyataan yang menjurus kepada perasaan rindu mereka pada suasana muktamar kali ini, cuma apa yang dilihat, mereka begitu sibuk mengatur cara kepimpinan PAS termasuklah cuba menetapkan hala tuju perjuangan PAS pada PRU ke 14 nanti.

Sebagai contoh, Suhaizan Kayat ada mengeluarkan kenyataan yang mahu PAS menumpukan perhatian mereka untuk kekal di Kelantan dan menawan Terengganu dari tangan Barisan Nasional. Untuk apa Suhaizat sibuk mengatur corak perjalanan PAS? Bukankah lebih baik dia menumpukan usaha memantapkan partinya dari sibuk membicarakan hal ehwal bekas partinya?

Tidak ketinggalan juga ada beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin PAN yang memperlekehkan Muktamar kali ini. Mereka mendakwa, Muktamar kali ini tidak lebih dari sekadar mahu mendapatkan persetujuan ahli PAS untuk bergabung semula dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Malah, ada juga suara-suara nakal yang mendakwa, Muktamar kali ini hanya untuk memperkukuhkan kedudukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang setelah melihat beliau mampu mengekalkan jawatannya tanpa bertanding. Persoalannya, adakah mereka berasa begitu pedih dan sakit di hati setelah melihat PAS masih mampu mengadakan muktamarnya dan Datuk Seri Abdul Hadi mampu mengekalkan jawatannya?

Mungkin juga agakkan ini silap, namun jika mengikut pepatah orang tua-tua, jika satu pihak masih lagi menyebut akan “bekasnya”, itu bermakna dia masih merindui dan menyayangi “bekasnya”. Inilah yang berlaku kepada beberapa orang pemimpin PAN yang dahulunya memperlekehkan PAS namun hari ini begitu sibuk mencampuri perjalanan Muktamar PAS kali ke 63 kali ini.

Comments

comments

Related Post

One thought on “Adakah Mereka Sudah Mula Merindui Suasana Muktamar PAS?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*