Selepas Tipu Dengan Ritual Kelapa, Ibrahim Mat Zin Mudah Gelak Ketawa Minta Maaf

Share This:

Betapa mudahnya manusia bernama Ibrahim Mat Zin menipu semua rakyat Malaysia dan kemudian mengaku bahawa apa ritual yang dibuat olehnya semua adalah drama belaka dan diarahkan oleh seseorang yang tidak mahu didedahkan identitinya.

Dia yang sebelum ini mengaku sebagai Raja Bomoh Sedunia sudah mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan atas tuduhan menghina Islam dan menyebabkan Islam dipandang hina.

Kes berkenaan disebut di depan Ketua Hakim Syar’ie Datuk Mohamed Ibrahim yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syar’ie.

Dia mengaku bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syarah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Dalam satu video sidang media menginsafi apa yang dilakukannya salah, ada ketika Ibrahim boleh ketawa dan gelak apabila mengatakan bahawa apa yang dilakukannya adalah drama semata-mata untuk menghangatkan keadaan pada lima kejadian.

Antaranya ketika kes pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan dari Malaysia ke Beijing, China, Ibrahim membuat ritual dengan dua biji buah kelapa pada ketika itu ia menjadi viral padahal ia hanyalah drama.

Kemudian, dia juga ada membuat ritual bermain golf di depan Penjara Sungai Buloh kononnya menghalau hantu yang kononnya dihantar untuk membunuh banduan liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum di sana.

“Saya buat semua ini bukan kehendak saya… diarahkan orang-orang tertentu untuk suruh buat cerita ini sebagai drama untuk menjaga kepentingan mereka,” katanya dalam sidang media itu.

Dia mengatakan bahawa dia sudah bertaubat nasuha dan tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan lagi.

“Itu semua drama sahaja, drama seronokkan cerita,” kata Ibrahim lagi.

Dia juga mengaku bahawa teropong buluh yang digunakan konon-kononnya mempunyai kuasa hikmat sebenarnya tidak nampak apa-apa pun apabila digunakan olehnya ketika melakukan ritual sesat itu.

Mahkamah kemudian mengarahkan beliau berkelakuan baik selama enam bulan, berikutan faktor umur dan keadaan kesihatannya, bermula hari ini dengan bon dua penjamin di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 129, Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.

Mahkamah turut memerintahkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan supaya menyediakan modul pengajaran bagi membolehkan Ibrahim menjalani kelas akidah dan fardu ain dengan bimbingan Pejabat Mufti.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga dikehendaki menyediakan laporan perkembangan tertuduh kepada mahkamah sepanjang tempoh tersebut.

Sementara itu, Ibrahim melafazkan taubat di hadapan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada sidang media di Kompleks Pusat Islam di ibu negara, petang semalam.

Kita berdoa sahajalah agar Ibrahim benar-benar insaf dan tidak melakukan perkara kurafat lagi bukan sahaja ritual melibatkan perkara pelik-pelik tetapi beberapa lagi ritual mengubati orang ramai yang sudah dimuat naik ke dalam Youtube dan Facebook. –  pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*