Rumah Kosong Tak Sempat Jadi Makmal Dadah

Share This:

KUALA LUMPUR – Siapa sangka sebuah rumah kosong di Taman Desa, dekat sini, dijadikan stor menyimpan peralatan memproses dadah.

Bagaimanapun, taktik itu dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting), Bukit Aman dalam empat serbuan berasingan di sekitar ibu negara, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, serbuan dibuat di empat lokasi berbeza iaitu Jalan Tun Razak, Jalan Cochrane dan Taman Desa.

Menurutnya, serbuan bermula jam 2 pagi hasil risikan dan maklumat telah menyerbu sebuah pusat snooker dan menahan tujuh lelaki tempatan sebelum seorang lelaki Bangladesh dan wanita Vietnam telah ditahan di dua lokasi berbeza.

“Susulan itu, bertindak atas maklumat yang kita perolehi, polis telah menyerbu sebuah rumah kosong dan pemeriksaan mendapati rumah ini dijadikan sebagai stor menyimpan dadah. Kita juga percaya rumah itu akan dijadikan sebagai makmal proses dadah, namun tidak kesampaian sebelum diserbu.

“Kita telah menemui ephedrine seberat 30.5 kilogram (kg) iaitu bahan utama bagi menghasilkan syabu selain pelbagai bahan kimia dan peralatan memproses,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mengulas lanjut, dengan tertangkapnya sembilan individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket dadah antarabangsa ini, pihaknya  telah merampas beberapa jenis dadah antaranya pil ekstasi (19,661 biji), pil eramin 5 (21,396 biji), dan dadah disyaki syabu, ganja serta ketamin dianggar bernilai RM2.5 juta.

Tambahnya, lapan buah kenderaan pelbagai jenis, pelbagai mata wang, barang kemas dan jam tangan yang kesemuanya bernilai kira-kira RM830,000 telah disita.

Mengulas tentang modus operandi sindiket, beliau mendedahkan, bekalan dadah diimport dari negara luar sebelum dipasarkan di pasaran tempatan khususnya pusat hiburan.

“Kita akan siasat siapa dalang antara suspek ini dan sejak bila mereka bergiat aktif.

“Kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun didapati negatif dadah kini direman sehingga 25 April depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*