Mungkinkah PAS Akan U-Turn Sekali Lagi?

Share This:

Hanya tinggal kira-kira seminggu sahaja lagi Muktamar PAS kali ke 63 bakal berlangsung. Ketika ini, PAS dilihat sedang sibuk menyiapkan barisan kepimpinannya bagi mengharungi penggal 2017 – 2019 yang dijangka akan menjadi cabaran terhebat buat PAS sepanjang penglibatan mereka dalam politik negara.

Bagi ahli PAS, Muktamar tahunan ini dilihat sebagai penanda aras hala tuju PAS untuk tahun-tahun yang mendatang. Banyak cadangan dan usul dikemukakan untuk disemat rapi kedalam minda setiap seorang ahli PAS. Sama seperti parti-parti politik yang lain, suara ahli akan lebih kedengaran apabila tiba hari besar buat parti PAS dalam menentukan survivor mereka.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, antara perkara yang cukup lantang disuarakan oleh akar umbi PAS adalah hubungan parti berkenaan dengan PKR dan DAP. Umum sedia maklum bahawa PAS telah memutuskan semua hubungan mereka dengan DAP sejak 2015. Apa yang tinggal kini adalah hubungan mereka dengan PKR yang ada ketikanya dilihat seperti cukup rapuh.

Umum sedia maklum bahawa PKR merupakan antara parti utama di dalam Pakatan Harapan. Justeru, adalah sesuatu yang menghairankan apabila PAS masih kekal mempunyai hubungan baik dengan PKR walaupun secara dasarnya PAS enggan lagi bekerjasama dengan Pakatan Harapan. Lebih menarik lagi, suara akar umbi PAS sendiri sudah menyatakan pendirian untuk mendesak kepimpinan PAS memutuskan hubungan dengan PKR.

Hari ini, kita melihat PAS lebih senang berdiri di atas kaki sendiri berbanding bergantung kepada PKR. Kepimpinan tertinggi PAS juga sedikit demi sedikit sudah menjarakkan diri dengan PKR sesuai dengan keputusan Majlis Syura yang dilihat seperti enggan meneruskan Tahaluf Siyasi mereka dengan PKR.

Ditambah pula dengan pendekatan keras Ahli-Ahli Parlimen PKR yang cukup lantang menghentam pembentangan Rang Undang-Undang (Pindaan) Syarie 355 atau RUU355, ianya semakin menampakkan keretakan hubungan antara kedua-dua buah parti.

Namun begitu, pendirian PAS ini pasti akan tergugah apabila Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tiba-tiba mengutuskan “wahyu” dari penjara dengan menyatakan sokongannya terhadap RUU355. Malah, dia juga tegas menyatakan, sokongannya terhadap RUU355 ini adalah pendirian rasmi PKR dan mana-mana ahli atau pemimpin PKR yang menyatakan penentangan, mereka bukanlah ahli parti.

Melihat kepada kenyataan ini, mungkinkah PAS akan melakukan pusingan “U” untuk kembali bersama PKR? Umum sedia maklum, kadang kala, pendirian PAS dalam sesuatu isu agak sukar diramal dan mereka mudah untuk mengambil pusingan “U” sekiranya mereka berpendapat sesuatu isu itu akan menguntungkan mereka.

Andai ini berlaku, nampaknya PAS sekali lagi terjebak kedalam kancah permainan psikologi ciptaan Anwar hanya untuk memberi kelebihan politik kepada PKR. Malah, jika perkara ini berlaku, kepimpinan tertinggi PAS sekali lagi menolak hasrat dan cadangan akar umbinya sendiri yang mahu hubungan PAS dan PKR diputuskan.

Namun begitu, sekiranya PAS kekal dengan pendirian untuk menolak kerjasama mereka dengan PKR, anya merupakan satu perkembangan terbaru yang positif buat PAS. Mungkin dengan penolakan ini, PAS telah membina era baru mereka di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan kepimpinan ulama mereka setelah mereka begitu teruk dikhianati oleh golongan liberal yang akhirnya membentuk PAN.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*