Pemimpin PPBM Tidak Sedar Bagaimana Rupanya Di Lapangan Sebenar

Share This:

Sesetengah pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terlalu lama memegang jawatan sehingga terputus dengan hakikat di lapangan, kata bekas ahli majlis tertinggi parti.

Pengasas bersama PPBM Kamarulzaman Habibur Rahman, yang mengumumkan peletakan jawatan dan keahlian dari parti hari ini berkata, perkara itu disedarinya dan ramai ahli PPBM lain selepas suara “orang baru” (baru menyertai arena politik) diabaikan.

“Kami selalu beritahu ada masalah dalam PPBM, dan masalah tidak ditangani dengan baik. Kami juga sedar pemimpin terlalu lama berada di atas, hinggakan mereka tidak tahu apa yang berlaku di lapangan.

“Sebaliknya, mereka bergantung kepada maklumat salah yang diberikan oleh mereka yang hanya bercakap perkara yang elok didengar sahaja,” katanya pada sidang media di Hotel Sunway Putra hari ini.

Kamarulzaman berkata golongan yang hanya menyalurkan maklumat yang elok didengar kepada para pemimpin itu terdiri daripada mereka yang menyertai parti untuk kepentingan peribadi.

“Tindakan mereka menjejaskan parti dan atas sebab itu saya percaya PPBM akan sukar bersaing dengan Umno,” katanya.

Separti yang ditetapkan sejak pelancaran parti, tujuan utama PPBM adalah mencabar Umno di nusa teras Melayu.
Oleh sebab itu, Kamarulzaman menegaskan PPBM boleh bersaing dengan Umno hanya jika ia kembali kepada perjuangan asal.

“Tetapi sekarang ini, hari demi hari mereka makin menjauhi tujuan asal, saya tidak lagi merasakan PPBM boleh bersaing dengan Umno secara berkesan.

“Bukan mudah untuk menang di kubu Umno, dan PPBM tidak dapat banyak bergerak ke depan,” katanya.

Beliau berkata sebab utama PPBM gagal mendapat momentum di lapangan kerana para ahli yang berniat baik tidak bersuara.

“Kita terlalu menghormati pemimpin, dan sikap itu boleh menyebabkan kejatuhan kita,” ujarnya.

Kamarulzaman cuba menyuarakan pandangannya mengenai perkara tertentu yang membabitkan PPBM dan hala tuju parti, tetapi para pemimpin tidak menerima baik pandangannya.

Keadaan itu menyebabkan beliau dilabel sebagai seorang yang tidak pandai berpolitik.

“Bila saya bercakap benar, ada yang terasa. Ini termasukkan presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan timbalan presiden (Datuk Seri Mukhriz Mahathir).

“Ada juga yang mengatakan saya tidak pandai bermain politik,” katanya.

Kamarulzaman awal hari ini mengumumkan peletakan keahlian PPBM, dan berkata 821 anggota dari seluruh negara akan mengikut langkahnya tidak lama lagi.

Beliau tiada rancangan untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini.

Bagaimanapun, Kamarulzaman berhasrat untuk menghidupkan kembali Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM).

“Kami akan menghidupkan semula GKCM, dan meluaskan pengaruhnya melalui ceramah terbuka, terutamanya kepada masyarakat luar bandar.

“Kami juga sedia duduk semeja dan memberi pandangan mengenai kemahuan rakyat kepada pemimpin mana-mana parti, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya. –  pru14.tv

Comments

comments

Related Post

One thought on “Pemimpin PPBM Tidak Sedar Bagaimana Rupanya Di Lapangan Sebenar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*