Azizulhasni Terharu Dengan Sokongan Yang Diberi Kerajaan Negeri

Share This:

Pada Khamis lalu, pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang, yang memenangi gelaran dunia pertama selepas menjuarai acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong, mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dan kepimpinan kerajaan negeri atas pelbagai bantuan diberikan.Tanpa memperincikan bentuk bantuan diberikan, Azizulhasni yang dinobatkan sebagai ikon negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kecewa apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mengungkit isu lama dalam laman sosial bertujuan memburukkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Sejak menjuarai kejohanan itu Khamis lalu, pelbagai tuduhan dan tohmahan termasuk membangkitkan semula isu lapuk yang mengaitkan kepimpinan kerajaan negeri tidak memberi sebarang bantuan diviralkan melalui laman sosial.

Azizulhasni yang juga pemenang pingat gangsa di Olimpik Rio tahun lalu, berkata sebagai seorang ikon kepada rakyat bukan sahaja di negeri ini, malah di seluruh negara termasuk di Asia, hanya komen positif akan dijadikan inspirasi.

Katanya, kerajaan negeri banyak membantu untuk memastikan kejayaan semua atlet dalam pelbagai bidang termasuk acara berbasikal.

“Sambutan yang diberikan kerajaan negeri pagi ini juga saya anggap sebagai bantuan yang boleh menyemarakkan semangat untuk meneruskan perjuangan.

“Saya sedar, sejak menjuarai acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong, Khamis lalu, pelbagai pendapat dan tohmahan diviralkan melalui laman sosial.

Ada juga kritikan tetapi saya hanya mengambil komen positif untuk dijadikan inspirasi,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, pagi ini.

Ketibaan Azizulhasni disambut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zuber Embong yang mewakili Ahmad Razif. Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Johari Abu Bakar serta Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farok Hussin.

Setelah tiba di LTSM, Azizulhasni menaiki kenderaan pacuan empat roda dengan diiringi kira-kira 1,500 orang termasuk pelapis dalam acara berbasikal ke pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) sebelum ke majlis sambutan peringkat negeri di Wisma Darul Iman sebentar lagi.

-pru14.tv-

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*