Zahid Maklumkan Dr Zakir Naik Adalah Penduduk Tetap Negara Ini

Share This:

Pendakwah antarabangsa terkenal, Dr Zakir Naik merupakan pemegang taraf penduduk tetap (PR) di Malaysia sejak lima tahun lepas.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini ekoran laporan akbar Hindustan Times di India pada November tahun lepas bahawa Dr Zakir telah diberikan kerakyatan negara ini.

Dakwaan itu dinafikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

“Beliau menerima status PR itu sejak kira-kira lima tahun lalu. Saya ingin mengesahkan Zakir memiliki status PR di Malaysia, tetapi dia bukan warganegara Malaysia.

“Dia sudah memegang status itu sebelum saya menjadi Menteri Dalam Negeri lagi,” katanya pada satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia (HEIC) 2017 di Putrajaya, hari ini.

Dalam reaksi beliau kepada laporan Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) yang mahu mendapatkan perintah Polis Antarabangsa (INTERPOL) ke atas Dr Zakir, Malaysia sedia memberikan kerjasama sepenuhnya jika kerajaan India memohon Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) dalam siasatan terhadap pendakwah itu.

MLA boleh diperolehi jika negara itu ada hubungan dan perjanjian dengan Malaysia, katanya.

“Jika ada permintaan (daripada kerajaan India) kita akan bekerjasama. Ini bukan soal serah menyerah tetapi soal siasatan.

“Kita mengikut sistem perundangan dalam negara dan kerangka hubungan diplomatik sedia ada,” kata Ahmad Zahid.

Zakir didakwa menghasut golongan muda Islam untuk terbabit dalam keganasan dan menganjurkan permusuhan antara masyarakat berasaskan agama dan kaum.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memaklumkan bahawa Zakir dibenarkan masuk ke negara ini kerana tidak tersenarai sebagai entiti pengganas dalam undang-undang antarabangsa.

Menurut KDN, nama Zakir tidak terkandung dalam senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) 1988 dan UNSCR 1267. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*