Tempoh Reman Ketua Angkatan Muda PKR Dilanjutkan Empat Hari Lagi

Share This:

Tempoh reman Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly dilanjutkan lagi selama empat hari bermula esok untuk meneruskan proses siasatan berhubung dakwaan kekayaan luar biasa yang dimilikinya.

Perintah kebenaran tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman sehingga 22 April ini selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Adam disiasati di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Dia dibawa ke Mahkamah Majistret pada pukul 9.18 pagi tadi oleh Pegawai SPRM dan dilihat memakai baju lokap berwarna jingga dan tangannya bergari.

Tempoh reman kali pertamanya selama lima hari sejak Jumaat lepas berakhir hari ini.

Pemimpin muda PKR itu ditahan semasa hadir di ibu pejabat SPRM di sini pada 13 April lepas bagi memberi keterangan berhubung siasatan kekayaan luar biasa yang dimilikinya.

Lelaki tersebut menjadi tumpuan selepas media melaporkan kemewahan luar biasa termasuk yang didakwa memiliki banglo bernilai jutaan Ringgit dan beberapa kereta mewah meskipun baru memegang jawatan dalam PKR.

Susulan itu, Ketua UMNO Ampang, Datuk Ismail Kijo membuat laporan kepada SPRM. –  pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*