Trend Remaja Bawa Masuk Dadah Ke Selatan Thai Membimbangkan

Share This:

Trend remaja termasuk penuntut institut pengajian tinggi (IPT) membawa dadah sintetik dipercayai untuk ‘berhibur’ di pekan kecil Danok, Selatan Thailand membimbangkan.

Komander Agensi Kawalan Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah Abdul Latif Abd Rahman berkata berdasarkan statistik yang direkodkan pihaknya mendapati 99% rampasan berkaitan dadah dilakukan remaja seawal usia 19 hingga 30 tahun.

“Kebanyakan mereka ditahan ketika cuba membawa masuk dadah sintetik seperti syabu dan erimin ke Danok dan kita percaya ia kegunaan mereka sendiri atau untuk rakan mereka yang menunggu di sana,” katanya dipetik BERNAMA.

Katanya beliau melihat trend tersebut membimbangkan memandangkan kebanyakan remaja berkenaan yang juga terdiri daripada penuntut IPT dan kolej sekitar Jitra begitu mudah “melangkah masuk” ke pekan yang tidak sampai 1 km pun dari sempadan negara itu.

“Bayangkan dengan hanya RM10 mereka boleh memperoleh pas sempadan dan bermalam di Danok untuk berhibur dan untuk tujuan lain,” katanya.

Abdul Latif berkata, kebiasaannya remaja terlibat akan bergerak secara individu menggunakan motosikal pada sebelah malam dan menyembunyikan dadah pada kaki menggunakan pita pelekat atau diletakkan di bahagian bawah tempat duduk.

Sehingga Mac lalu, Aksem Kedah merekodkan RM25,350 nilai rampasan dadah dan hampir keseluruhannya membabitkan remaja.

Sementara itu Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah Mohammad Nazer Mustafa yang mengakui perkara itu berkata, berdasarkan kepada operasi bersepadu yang dilakukan sebelum ini, golongan muda paling banyak berkunjung ke Danok pada hujung minggu.

“Mereka bermalam di Danok memandangkan banyak pusat hiburan di sana dan keluar pada awal pagi ketika pintu sempadan dibuka, kebanyakan mereka masih lagi belajar,” katanya.

Sebanyak 105 kes positif dadah di kalangan pelajar sekolah dicatatkan sehingga Mac tahun ini, berbanding 344 pada tahun lalu dan 374 (2015).

Penggunaan dadah sintetik memang popular di kalangan remaja ketika ini apabila 90% daripada kes yang dicatatkan membabitkan pengambilan syabu, katanya. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*