Tiga Ah Long Dibelasah, 8 Suspek Ditahan Polis

Pada 14 April lalu, polis berjaya menahan lapan suspek kes terbabit rusuhan yang berpunca daripada kegiatan ah long dekat sebuah stesen minyak di Taman Selasih.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Baruddin Wariso berkata, pihaknya telah mendapat aduan orang awam mengenai kejadian tersebut pada jam 10 malam.

“Anggota kita melibatkan unit MPV, URB dan pegawai penyiasat telah ke lokasi kejadian untuk meleraikan kejadian dan mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, dua lelaki yang juga dipercayai sebagai pengutip hutang atau ah long telah cedera akibat dipukul beberapa suspek yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

“Kita percaya kejadian ini tidak dirancang, yang terlibat dalam rusuhan tersebut juga kebetulan melalui kawasan itu dan mengambil kesempatan untuk memukul dua pengutip hutang itu,” katanya.

Menurutnya, pihak polis juga telah mengadakan Ops Cantas pada 15 April hingga 19 April 2017 bagi mencari suspek yang terlibat dan berjaya menahan kesemuanya di kawasan Kulim, Sungai Bakap dan Kuala Kurau, Perak.

“Kelapan lelaki berusia 30 hingga 46 tahun, termasuk tiga ah long telah ditahan, manakala empat suspek itu juga mempunyai rekod jenayah dan terlibat kes dadah namun hasil siasatan awal mereka tidak terbabit dengan mana-mana kongsi gelap.

“Kita telah menahan mereka di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, pihak polis menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil tindakan sendiri dengan memukul dan menderakan individu sebaliknya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Saya nasihat orang awam tidak mengambil tindakan sendiri termasuk mencederakan seseorang individu itu kerana mereka turut boleh didakwa sebalinya hubungi pihak polis” jelasnya.

-pru14.tv-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *