Analisis : Mampukah Impian Penggabungan Pakatan Harapan Terlaksana?

Share This:

Gema gendang Pilihan Raya Umum ke 14 kian dirasai. Benar, tarikh pilihan raya berkenaan terletak di tangan Perdana Menteri dan terpulanglah kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk memilih sebarang tarikh yang beliau rasakan baik dalam penggal ini untuk mengadakan Pilihan Raya. Walaupun ada pihak yang meramalkan pilihan raya akan diadakan pada masa terdekat, namun ianya hanyalah ramalan semata-mata.

Seperti biasa, setiap kali tiba musim pilihan raya, pergerakan parti-parti politik tanahair akan serta merta berubah. Seperti biasa, UMNO dan Barisan Nasional akan memulakan gerak kerja dari akar umbi bagi memperkukuhkan jentera pilihan raya Barisan Nasional. Tidak ada apa yang mengejutkan kerana sebagai sebuah parti yang membentuk kerajaan sejak sekian lama, ianya menjadi perkara lumrah.

Apa yang menarik untuk dibicarakan adalah mengenai persiapan di pihak pembangkang. Umum sedia maklum, Pakatan Harapan dibentuk pada tarikh 16 September 2015 dengan dianggotai oleh DAP, PKR dan PAN sebelum PPBM yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir menyertai pakatan ini pada 13 Disember tahun lalu. Dengan penyertaan PPBM ini, ianya telah membentuk gabungan 4 buah parti tanpa penglibatan PAS.

Sebaik sahaja penggabungan ini terbentuk, timbul idea dari Mahathir sendiri untuk memastikan Pakatan Harapan membentuk satu gabungan parti politik, sama seperti apa yang diamalkan oleh Barisan Nasional. Menurut Mahathir, penggabungan ini penting supaya pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak, pertandingan satu lawan satu dapat direalisasikan dan memberikan Pakatan Harapan peluang untuk menumbangkan Barisan Nasional.

Persoalannya, mampukah gabungan semua keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan ini terbentuk? Jika disoroti sejarah pembangkang di negara ini, bermula dengan Barisan Alternatif sehingga kini, gema laungan gabungan ini bukan satu perkara baru. DAP selaku parti tunjang pembangkang dilihat beberapa kali cuba merealisasikan pembentukan satu gabungan parti pembangkang namun sehingga kini masih gagal.

Semuanya berpunca daripada keengganan kesemua parti yang membentuk gabungan pembangkang berkompromi berhubung teras utama parti masing-masing. Sebagai contoh, PKR kekal dengan prinsip untuk meletakkan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri. PAS pula mahu membentuk sebuah negara Islam solid manakala DAP pula lebih cenderung untuk memperjuangkan hak kesamarataan rakyat Malaysia menerusi Malaysia Malaysian.

Kesemua ini menyebabkan apa yang dirancang tidak pernah berjaya. Ditambah pula dengan keegoan pemimpin parti masing-masing, ianya menambah rencah kepada kegagalan pembangkang untuk membentuk satu pakatan pembangkang yang solid. Hal yang sama masih berterusan sehingga hari ini dan kali ini, Mahathir pula mencuba nasib merubah masa depan pembangkang di Malaysia. Mampukah Mahathir?

Untuk ini, mudah untuk dikatakan bahawa, Mahathir sebenarnya hanya bermimpi di siang hari. Sebagai sebuah parti politik yang baru sahaja ditubuhkan dengan keahlian tidak sampai angka 100 ribu orang, ditambah pula dengan hanya 1 kerusi Parlimen, mana mungkin DAP yang memiliki kerusi Parlimen terbanyak dalam Pakatan Harapan mahu mendengar saranan Mahathir?

Perjuangan prinsip antara parti di dalam pakatan pembangkang juga merupakan satu perkara yang menyukarkan lagi pembentukan satu gabungan parti politik pembangkang. Lihat sahaja bagaimana mereka masih gagal menamakan seorang pemimpin untuk diangkat menjadi Perdana Menteri andai mereka berjaya membentuk kerajaan kelak. Bukankah ini tanda tiada kesepakatan antara mereka?

Jika Mahathir merasakan beliau mampu membentuk satu gabungan seperti Barisan Nasional, anggapannya jauh meleset. Barisan Nasional dibentuk hasil daripada persefahaman dan sikap kompromi yang tinggi. Semua itu tidak wujud di dalam Pakatan Harapan. Malah, lebih teruk lagi, mereka sendiri tidak mempercayai antara satu sama lain.

Kesimpulannya, pembangkang di Malaysia ini masih belum mencapai tahap standard pembangkang di luar negara. Mereka masih lagi memainkan isu peribadi, mereka cipta fitnah dan langsung tidak menampakkan sebarang hala tuju yang jelas. Mungkin penggabungan ini akan menjadi kenyataan kelak namun apa yang pasti, Pilihan Raya Umum ke 14 ini masih belum mampu meruntuhkan ego DAP, PKR, PAN dan PPBM.

Ditambah pula dengan pemulauan PAS terhadap semua parti politik pembangkang, ianya menambahkan lagi kesukaran buat Pakatan Harapan merealisasikan pertembungan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum kelak. Satu-satunya harapan yang tinggal adalah persefahaman antara satu sama lain sambil mengharapkan PAS termakan pujuk rayu mereka. Jika ini gagal, maka mereka akan terus gagal untuk kesekian kalinya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*