PM Buat Lawatan Singkat Tinjau Perkembangan Pangkalan Udara TUDM Sendayan

Share This:

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa melakukan lawatan singkat ke tapak pembangunan Pangkalan Udara Sendayan, di Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau mahu meninjau secara dekat perkembangan dan kemajuan terkini pembinaan pangkalan udara itu yang dijangka siap sepenuhnya pada 31 Disember tahun ini.

Najib merangkap Menteri Kewangan selamat tiba pada pukul 9.15 pagi dengan menaiki helikopter, disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Najib dalam lawatan berkenaan mendengar taklimat berkenaan pembangunan Markas Pendidikan dan Latihan Udara (MPLU).

Perdana Menteri juga akan membuat pengumuman nama pangkalan udara itu diikuti sesi meninjau kemudahan dan infrastruktur yang dibangunkan di kawasan seluas 303.5 hektar.

Ia menempatkan kompleks sukan, padang golf (9 lubang), kemudahan ekuestrian, kolam renang, pusat Islam dan kompleks kediaman.

Berbanding Pangkalan Udara Kuala Lumpur yang hanya mempunyai 250 kuarters kediaman, Pangkalan Udara Sendayan dibina dengan 693 unit kuarters kediaman pelbagai kategori termasuk banglo, berkembar dua dan pangsapuri untuk pegawai dan anggotanya.

Projek membangunkan Pangkalan Udara Sendayan, yang dimulakan pada 2013, dirancang untuk dijadikan pusat latihan iktisas atau profesional bagi melatih pegawai dan anggota dalam bidang logistik, pentadbiran dan pengurusan.

Pangkalan Udara Sendayan juga bakal menjadi pusat latihan profesional terbesar negara untuk pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan akan menghimpunkan kesemua tiga pusat latihan TUDM di Subang dan Kinrara, Selangor dan Pulau Pinang untuk berada di bawah satu bumbung.

Fasiliti itu, yang terletak kira-kira 12km dari Seremban, bagaimanapun tidak mempunyai landasan penerbangan kerana ia tidak melibatkan operasi berkenaan.

Pembangunan Pangkalan Udara Sendayan yang berkeluasan tiga kali ganda daripada saiz fasiliti sedia ada, merupakan sebahagian daripada rancangan penyusunan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, yang akan dibangunkan menjadi Bandar Malaysia. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*