Lawatan Najib Beri Makna Besar Kepada Kakitangan TUDM

Share This:

Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan memberikan makna besar kepada kakitangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khususnya yang bakal berpindah ke pangkalan berkenaan dari Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia sekali gus petunjuk dalam perancangan pelbagai projek pembangunan melibatkan infrastruktur kepada warga TUDM sendiri.

Lawatan itu jelasnya turut menunjukkan komitmen dan keprihatinan Perdana Menteri terhadap aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Lawatan Perdana Menteri membawa erti dan makna yang amat mendalam sekali. Saya berbincang dengan pihak TUDM dan mereka melihat pangkalan ini sebagai mimpi jadi kenyataan.

“Kita sedar dari segi lokasi di Pangkalan Udara Kuala Lumpur yang sudah tidak sesuai dari segi keselamatan dan keperluan TUDM sendiri,” katanya semasa sidang media selepas menemani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Pangkalan Udara Sendayan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan serta Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Pangkalan Udara Sendayan akan menjadi pusat latihan terbesar dan utama TUDM.

Beberapa pusat latihan tentera udara di seluruh negara akan berpusat di Pangkalan Udara Sendayan bermula Januari 2018.

Kata Hishammuddin, pemindahan kesemua pusat latihan ke Pangkalan Udara Sendayan itu turut membabitkan Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU) dan Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR) yang ketika ini berpusat di Pangkalan Udara Subang.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa tiada operasi penerbangan pesawat sayap kaku (fixed wing) akan dilaksanakan di Pangkalan Udara Sendayan dan hanya akan melibatkan penerbangan helikopter.

“Ini kerana, kesemua operasi penerbangan yang sebelum ini dilaksanakan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur telah dipindahkan dan beroperasi di Pangkalan Udara Subang, Pangkalan Udara Butterworth, Pangkalan Udara Kuantan dan Pangkalan Udara Gong Kedak.

“Secara keseluruhannya, proses pembinaan Pangkalan Udara Sendayan berjalan lancar di bawah penyeliaan pihak kontraktor yang dilantik oleh TRX City Sdn Bhd iaitu Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia (PPHM). Setakat hari ini, proses pembinaan PU Sendayan telah 80 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Disember 2017,” jelasnya.

Ujar Hishammuddin, pembinaan Pangkalan Udara Sendayan itu merupakan satu lagi mercu tanda kecemerlangan dan kegagahan ATM amnya dan TUDM khasnya.

“Saya berharap agar dengan adanya Pangkalan Udara Sendayan ini, ia berupaya memperkukuh semangat seluruh warga ATM khususnya TUDM untuk melunaskan amanah dan tanggungjawab sekali gus menjadikan TUDM sebagai pasukan tentera udara yang disegani di rantau ini dan di peringkat antarabangsa.

“Pada masa sama, saya percaya kewujudan Pangkalan Udara Sendayan turut berupaya menyumbang kepada pembangunan yang lebih pesat di kawasan Sendayan khasnya dan Seremban amnya.

“Ia bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar bagi memastikan pembangunan negara lebih seimbang dan terancang serta tidak hanya tertumpu di bandar-bandar utama sahaja,” katanya.

Dalam pada itu ujarnya, selain pembinaan Pangkalan Udara Sendayan, Kementerian Pertahanan juga sedang merancang pembinaan kem-kem baharu dan menaik taraf kem-kem sedia ada di seluruh negara.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perancangan Hala Tuju Kementerian Pertahanan yang bertujuan meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan ATM dan tahap keselamatan negara selain menambah baik aspek kebajikan warga ATM.

“Setakat ini, Kementerian Pertahanan merancang untuk membina sebanyak lima kem baharu di Johor, Pahang, Perak dan Sabah

“Manakala bagi perancangan menaik taraf kem-kem sedia ada, Kementerian Pertahanan telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 kem di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah,” jelasnya. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

One thought on “Lawatan Najib Beri Makna Besar Kepada Kakitangan TUDM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*