PPBM: Topeng Muka Muhyiddin, Wajah Muka Mahathir

Share This:

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) atau lebih dikenali sebagai parti Bunga merupakan parti yang dibentuk berdasarkan kepada kehendak dan visi Tun Dr Mahathir Mohamad atas kepentingan dan agenda peribadi beliau. Kita amat maklum bahawa walaupun  presiden parti Bunga adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin namun perjalanan parti tersebut dikawal sepenuhnya oleh Mahathir.

Baru-baru ini Mahathir dikatakan telah mendakwa yang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 2016 atau Akta 355 yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia yang beragama Islam itu hanya akan memecahbelahkan Melayu. Mungkin Mahathir perlu lebih spesifik kepada orang Melayu dalam Pakatan Harapan yang dipimpin oleh DAP sahaja.

Kini Muhyiddin pula mengeluarkan kenyataan yang jauh berbeza dengan pendirian Mahathir tersebut. Beliau akan menyokong RUU 355 apabila ianya dibahas dan diundi dalam sidang Parlimen akan datang. Malah beliau menegaskan RUU 355 itu bukanlah bertujuan melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia.

RUU 355 hanyalah pindaan kepada undang-undang sedia ada sepertimana yang pernah dilakukan pada tahun 1984 dan 1989. Bezanya sebelum ini, pindaan dilakukan menerusi RUU kerajaan, bukan RUU persendirian.

Pembentangan RUU tersebut untuk kebaikan umat Islam. Oleh itu, semua pihak tidak boleh melihatnya dari perspektif lain termasuk politik. Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa rang undang-undang ini tidak terpakai ke atas orang bukan Islam sebagaimana diulang-ulang di dalam Jadual Kesembilan Perlembagan Persekutuan, juga disebut di dalam Akta dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam, Akta dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Akta 355 sendiri.

Perlembagaan Persekutuan telah memberi jaminan bahawa undang-undang Islam di Malaysia hanya terpakai ke atas orang-orang Islam sahaja dan prinsip ini tidak berubah dengan pindaan yang dicadangkan.

Adakah Lim Kit Siang sedang dipermainkan oleh Mahathir berkenaan isu RUU 355 ini? Suara parti Bunga merupakan suara Mahathir juga. Ini bermakna dalam masa yang sama Mahathir telah mengeluarkan dua kenyataan yang berbeza. Satu membantah dan satu lagi menyokong.

Mungkinkah parti Bunga yang bertopengkan muka Muhyiddin dan berwajah muka Mahathir mampu terus memperbodohkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP?

Atau sebenarnya, sejak dari mula Lim Kit Siang telah faham permainan kotor Mahathir namun mengambil sikap sambil lewa bagi mempergunakan orang Melayu untuk skrew orang Melayu yang lain.

  • PRU14.tv

 

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*