Usul Pindaan RUU355 Bukan Pintu Belakang Untuk Laksana Hudud

Share This:

Usul Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 atau RUU 355 bukanlah pintu belakang untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia yang dimulakan oleh PAS.

Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pelaksanaannya memerlukan banyak pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia adalah sukar untuk dilakukan dalam masa singkat.

“Untuk melaksanakan hukum hudud, sekurang-kurangnya ada 3 pindaan dalam perlembagaan diperlukan. Sudah tentu, ia sukar dilakukan kerana pindaan RUU 355 ini terhad kepada bidang kuasa mahkamah syariah di negeri-negeri.

“Jadi janganlah kedengaran lagi Akta 355 ini adalah untuk melaksanakan hudud di Malaysia,” kata beliau ketika membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen PAS Marang itu berjaya membentang usul persendiriannya hari ini walaupun mendapat tentangan daripada ahli-ahli parlimen pembangkang terutama DAP dan PKR.

Menurut Hadi, RUU 355 ini bukanlah untuk diguna pakai kepada orang bukan Islam dan ia hanya untuk orang Islam di dalam negara ini.

“Sejarah membuktikan sejak 52 ahun yang lalu, tiada seorang pun orang bukan Islam yang didakwa dengan akta RUU 355 di mahkamah syariah negeri-negeri.

“Justeru itu seorang bukan Islam tidak perlu bimbang dengan implikasi pindaan akta ini, kita memohon yang berhormat di dewan ini tidak perlu bimbang kerana tidak dikenakan kepada pesalah bukan Islam dan didakwa dengan akta ini,” katanya.

Tegas Hadi lagi, sesiapa yang menentang RUU berkenaan terutama demi kepentingan politik mereka, adalah golongan yang kemaruk kuasa.

Dalam pembentangannnya, Hadi yang juga Presiden PAS mengingatkan ahli Dewan, Islam merupakan agama rasmi bagi Persekutuan yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“Namun tidak kah ahli Dewan terfikir, penganut agama Islam seolah-olah dilarang tidak dapat mengamalkan agama sendiri sepenuhnya, dengan pembelaan yang dijanjikan oleh Islam dalam keadaan yang bukan Islam telah mengganggu hak orang Islam mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya termasuklah syariat yang terkandung di dalamnya,” katanya dan mendapat tepukan gemuruh dewan.

Menurutnya, pindaan ini ialah untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang hukumannya sudah lama tidak dipertingkatkan.

“Pindaan ini bukan bertujuan untuk mewujudkan undang-undang baru, tetapi lebih bertujuan untuk meminda sebuah undang-undang Persekutuan berkaitan bidang kuasa mahkamah Syariah yang batas hukuman sedia ada yg terkandung dalam akta 355 iaitu had maksimum penjara 3 tahun, atau denda tidak lebih RM5,000 atau tidak lebih 6 sebatan.

“Hukuman ini amat rendah dengan hukuman sivil kelas satu yang boleh memenjarakan pesalah dengan hukuman penjara 10 tahun atau penjara RM10,000 atau sebat 10 kali,” katanya.

Hadi menjelaskan lagi, pindaan RUU 355 akan membela dan memartabatkan hak wanita Islam yang sering diabaikan atau dinafikan haknya oleh suami.

“Begitu juga kepada seorang suami muslim yang tidak bertanggungjawab, meninggalkan isteri dan anak-anak bertahun-tahun tanpa nafkah. Apabila didakwa isterinya dimahkamah Syariah, dia hanya boleh didenda dan mudah bagi si suami untuk melunaskan RM5,000,” katanya. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*