Kedutaan Besar Malaysia Di Indonesia Giat Kesan Dua Rakyat Malaysia Hilang

Share This:

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia sedang giat mengesan dan mencari dua rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang di Jakarta sejak 30 Mac lepas.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata di Jakarta pihak kedutaan dengan bantuan Atase Polis Diraja Malaysia di kedutaan besar sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan kedua-dua rakyat Malaysia itu.

Katanya, pihak kedutaan juga sedang menjalankan siasatan daripada segala sudut kerana kehilangan mereka menimbulkan kemusykilan setelah tidak langsung menghubungi sesiapa sebaik tiba di Jakarta.

Beliau berkata, waris kepada Mohamad Shafa Ahmad, antara yang dilaporkan hilang itu, telah bertemu dengan pihak kedutaan dan kini berada di Jakarta.

Mohamad Shafa, 29, dan Kamarol Arifin Mohamad Darus, 27, masing-masing bekerja sebagai penghantar surat dan juruteknik kilang, dipercayai hilang selepas tiba di Jakarta dengan menaiki pesawat AirAsia pada 2 petang dari KLIA2.

Dua sahabat baik yang berasal dari Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor dikatakan ingin mengunjungi Jakarta untuk menonton konsert Dj Armin van Buuren di Jakarta International Expo di sini.

Kedua-dua mereka tidak menghubungi keluarga sejak tiba di Jakarta dan juga dilaporkan tidak mendaftar masuk ke hotel yang ditempah.

Kakak kepada Kamarol, Junaina Mohamad Darus, 33, berkata beliau menyedari adiknya hilang selepas anak ke-12 daripada 13 beradik itu tidak muncul di klia2 pada hari sepatutnya dia pulang pada 11 malam, 2 April lalu. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*