Belum Setahun Sudah Ada Parti Serpihan?

Politik Malaysia hari ini cukup subur sebenarnya. Manakan tidak, sesiapa sahaja ahli politik yang merasakan diri mereka hebat, boleh sahaja menubuhkan sebuah parti politik baru. Hari ini, sekurang-kurangnya lebih 50 buah parti politik telah di daftarkan di R.O.S yang melibatkan seluruh negara.

Terbaru, Datuk Ezam Mohd Nor dilaporkan telah menghantar permohonan kepada pihak R.O.S untuk menubuhkan sebuah parti politik baru. Parti berkenaan buat seketika ini diberinama Parti Generasi Baru (PGB). Menariknya, berdasarkan sekeping surat yang dihantar Ezam kepada Datuk Saifuddin Abdullah, parti barunya ini sebenarnya mempunyai nama lain selain dari PGB.

Menurut surat berkenaan, nama parti baru Ezam ini adalah Parti Bebas Rasuah (PBR) yang diketuai olehnya serta di bantu oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan selaku Timbalan Presiden parti. Melihat kepada dua nama ini, timbul persoalan, bukankah mereka berdua ini adalah pentaksub Mahathir yang pernah menganggotai PPBM? Apa sudah jadi sebenarnya?

Agak melucukan sebenarnya apabila melihat kepada tindakan nekad Ezam yang menubuhkan sebuah parti politik bersama-sama Khairuddin. Manakan tidak, jika sebelum ini mereka menumpahkan seluruh ketaatan mereka kepada Mahathir, secara tiba-tiba mereka menubuhkan sebuah parti politik yang langsung tidak ada kena mengena dengan Mahathir.

Lebih menarik lagi, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Khairuddin semalam, dia mengajak Mahathir untuk menjadi pengerusi bersama parti baru ini dengan PPBM. Ini menimbulkan persoalan, apa perlunya menubuhkan sebuah lagi parti politik jika mereka masih sayangkan Mahathir? Adakah mereka ini terdiri daripada kelompok yang anti Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yasin?

Nampak gayanya, PPBM tidak memerlukan masa yang lama untuk membentuk serpihan partinya sendiri. PPBM sendiri ditubuhkan hasil daripada serpihan pemimpin UMNO yang memberontak. Justeru, tidak hairanlah apabila Ezam dan Khairuddin sendiri menubuhkan parti serpihan demi kelangsungan politik mereka.

Mungkin, parti baru Ezam dan Khairuddin ini akhirnya diterima masuk kedalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP. Namun apa yang menjadi tanda tanya adalah, apa teras utama parti baru ini? Kemana hala tuju parti ini? Adakah parti ini ditubuhkan Ezam bagi membolehkannya bertanding di Parlimen Pekan seperti yang diumumkannya sebelum ini?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *