Malaysia Belum Bersedia Beri Hak Istimewa Pada Pelarian Rohingya

Share This:

Kerajaan Malaysia masih belum mampu memberi hak istimewa sepenuhnya kepada pelarian etnik Rohingya ke negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata atas sebab itulah negara sehingga kini tidak menganggotai Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

“Sesebuah negara anggota bagi konvensyen dan protokol itu perlu hak-hak sebagaimana dinikmati oleh warganegara seperti akses bekerja, kemudahan hospital kerajaan dan klinik kesihatan percuma, akses pendidikan di sekolah kerajaan dan sebagainya kepada pelarian.

“Dalam kalangan negara ASEAN, hanya Filipina dan Kemboja merupakan anggota konvensyen dan protokol ini,” katanya.

Shahidan berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Dungun (Pas) Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai menyatakan pendirian kerajaan terhadap kedatangan pelarian Rohingya dan usaha-usaha penyelarasan terhadap mereka yang berada di negara ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Malaysia kekal komited meneruskan hubungan dua hala dengan Myanmar bagi memastikan usaha mencari penyelesaian terbaik terhadap krisis yang melanda masyarakat Rohingya tidak terbantut.

Jelasnya, kerajaan juga akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan isu tersebut sejajar dengan semangat solidariti ASEAN.

Dalam pada itu, kata Shahidan, pada masa ini hanya 40 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) daripada etnik Rohingya berminat dengan Projek Perintis
Kebenaran Bekerja di negara ini.

Jelasnya, ia masih belum memenuhi sasaran 300 orang untuk projek berkenaan.

“Ini bermakna, mereka sudah berada dalam pasaran pekerjaan. Yang datang kepada kita baru 40 orang, belum capai 300 sasaran. Untuk makluman, terdapat lebih 60,000 pemegang kad UNHCR ketika ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia sebagai anggota komuniti antarabangsa bertanggungjawab akan terus memainkan peranan menyumbang usaha menangani penderitaan yang dihadapi
golongan minoriti Islam Rohingya di Myanmar.

Tegasnya, Malaysia turut menggalakkan anggota komuniti antarabangsa untuk menyumbang usaha bagi mengurangkan penderitaan yang ditanggung kaum Rohingya. –  pru14.tv

Comments

comments

Related Post

One thought on “Malaysia Belum Bersedia Beri Hak Istimewa Pada Pelarian Rohingya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*