Azmin Ali Makin Dihimpit Kontroversi Dan Skandal

Share This:

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini nampak benar sedang terperangkap dalam himpitan skandal yang dibiarkan lapuk tidak dijawab sedangkan persoalan dan kontroversi melibatkannya semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Pada November 2016, Azmin mula terpalit kontroversi melibatkan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) apabila ia dibayar RM2.975 bilion sedangkan Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menawarkan jumlah bayaran sebanyak itu.

Beliau pemimpin yang mendakwa kerajaan negeri ada menawarkan sejumlah wang berkenaan kepada SPLASH. Namun bagi bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dakwaan yang dibuat oleh Azmin hanyalah untuk mengalihkan topik perbincangan menghalalkan pentadbiran Azmin membayar sebanyak RM2.7 bilion kepada SPLASH.

Ia adalah 10 kali ganda lebih tinggi daripada tawaran asal iaitu RM250.6 juta.

“Kami tidak pernah bercadang pada bila-bila masa untuk membayar RM2.9 bilion untuk ekuiti Splash seperti yang didakwa oleh Azmin,” kata Abdul Khalid.

Kini, Azmin terpalit pula dengan kontroversi skandal wang Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan beliau juga dituntut memberikan penjelasan yang masih tidak dibuat sehingga hari ini.

Ia berlaku apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu melantik Kamsani Nasir sebagai Pengurus Besar YAWAS padahal Kamsani berstatus muflis dan bankrap.

Dikatakan pelantikan beliau adalah untuk melarikan wang YAWAS sebanyak RM500 juta setahun seperti mana projek di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diserap kepada anak syarikat GLC di bawah Kerajaan Negeri Selangor seperti PKNS (Rumah, Kad Kesihatan), KDEB (Air dan pelupusan sampah), dan YAWAS (Tabung, SMUE, tadika, kesihatan wanita).

Apabila menggunakan GLC dan Yayasan ia hanya perlu kuasa MB Selangor.

Bagaimanapun, melantik individu yang muflis adalah satu perkara besar yang mesti dipersoalkan kerana bagi Azmin siapa sahaja boleh dilantik ke jawatan itu asalkan mahu menurut kata dan taat kepada Menteri Besar.

Skandal YAWAS turut berkait dengan skandal Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang juga dikendalikan Kerajaan Negeri Selangor.

Seseorang individu yang muflis tidak boleh dilantik dari menjalankan mana-mana perniagaan atau menjadi seorang Pengarah atau mengambil bahagian dalam pengurusan mana-mana syarikat kecuali dengan kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi atau mahkamah.

Kamsani sudah diisytiharkan muflis sejak 2008.

Kemudian muncul pula kes skandal SMUE yang merupakan program khusus untuk rakyat Selangor atau mereka yang bermastautin 15 tahun ke atas di negeri Selangor serta berusia 60 tahun ke atas iaitu yang lahir sebelum 1 Februari 1974.

Ia berupa sumbangan Khairat Kematian berjumlah RM2,500 kepada rakyat negeri Selangor.

Bagaimanapun yang menjadi pelik ialah ia dikendalikan dan diuruskan oleh kawasan Parlimen di luar Selangor iaitu di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Antaranya dikendalikan oleh Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw (DAP), Ahli Parlimen Batu Tian Chua (PKR), Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (PKR) dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (DAP).

Banyak skandal masih belum dijawab oleh Azmin dan semua pihak sudah terlalu lama menunggu penjelasan diberikan oleh beliau tapi beliau sendiri berdendam apabila mahu menuntut semula bayaran pampasan RM2.7 juta yang diberikan kepada bekas kakitangan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor.

Mahkamah Tinggi pada Khamis lepas memutuskan bayaran berkenaan adalah sah.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendapati bayaran itu dibuat mengikut peraturan berdasarkan Enakmen MBI 1994.

Sehubungan itu, mahkamah menolak tuntutan MBI, anak syarikat kerajaan Selangor yang difailkan pada 11 Mei 2015, meminta tujuh bekas kakitangan itu memulangkan kembali pampasan RM2.7 juta yang dibayar menerusi Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pada 2014. –  pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*