Pencarian Kapal Kargo Korea Selatan Diteruskan

Share This:

Beberapa kapal dan pesawat dari beberapa negara meneruskan pencarian mangsa di Lautan Atlantik selepas kapal kargo Korea Selatan karam di luar pantai Uruguay.

Kejadian itu membabitkan kapal kargo, Stella Daisy yang mempunyai kapasiti lebih 260,000 tan metrik dan membawa 24 anak kapal, masing-masing 16 warga Filipina dan lapan warga Korea Selatan.

Pada Jumaat lalu kapal itu membuat panggilan kecemasan mengatakan ia mengalami kebocoran serius. Jurucakap Tentera Laut Uruguay, Gaston Jaunsolo, berkata dua anak kapal rakyat Filipina berjaya diselamatkan Sabtu lalu dan usaha mencari lain-lain anak kapal masih diteruskan.

Katanya, punca insiden itu masih tidak dapat dipastikan kerana ia berlaku ketika keadaan cuaca baik. Menurut Jaunsolo, kedua-dua anak kapal yang berjaya diselamatkan itu berada dalam keadaan baik.

Mereka memaklumkan pada hari kejadian, kapten kapal mengumumkan kapal terbabit mula dimasuki air, menyebabkan ia mengalami kerosakan. Dalam pada itu, Jaunsolo berkata, pesawat Brazil adalah antara yang menyertai misi mencari dan menyelamat hari ini.

Yang turut terbabit, empat kapal dagang Korea Selatan dan kapal tentera laut Argentina. Beliau berkata, tumpuan utama pasukan penyelamat adalah mencari dua lagi bot getah dengan harapan untuk menjumpai anak kapal yang masih hidup. Tiga daripada bot terbabit sudah ditemui. – AFP

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*