Lakukan Rutin Persis Seorang Gimnas, Budak 3 Tahun Ini Digelar ‘Spider Boy’

Share This:

Baru-baru ini, seorang budak lelaki berusia tiga tahun di Iran berjaya meraih perhatian pengguna Internet selepas aksinya melakukan rutin seorang gimnas seperti back flip dan balik kuang menjadi tular di media sosial.

Portal Dailymail melaporkan, kebolehan Arat Hosseini melakukan rutin itu termasuk memanjat din­ding setinggi tiga meter di rumahnya dengan tangan kosong membuatkan dia digelar sebagai Spider Boy.

Menerusi rakaman yang dimuat naik di akaun Instagram Arat, kanak-kanak cilik itu dirakam melakukan pelbagai aksi lasak bak ahli gimnas profesional sambil dipantau oleh bapanya.

Kedua-dua ibu bapa Arat, Mohamad dan Fatemeh yang tinggal di Babol, wilayah Mazandaran mengatakan anak lelaki mereka tidak pernah mendapatkan latihan secara profesional sebaliknya hanya berlatih dalam tempoh 10 hingga 20 minit di rumah mereka.

Tambah Mohamad , dia hanya menyedari kebolehan luar biasa anaknya semasa membelai Arat yang sedang tidur sejurus pulang dari bekerja.

“Saya mendapati kekuatan dan kederat luar biasa Arat semasa dia menggenggam tangan saya sejurus dia bangun dari tidur.

“Kini, dia menggemari rutin balik kuang dan akan berlatih selama 20 minit sehari,” katanya.

Sementara itu, Mohamad memberitahu, Arat mula menjalani latihan gimnastik sejak berumur sembilan bulan di rumah mereka.

Kanak-kanak itu mempunyai sebanyak 25,000 pengikut di Instagram dengan kesemua video berkenaan merakamkan aksi kanak-kanak terbabit akan melakukan rutin gimnastik sejak dari awal klip berkenaan.

“Arat seorang insan yang luar biasa dan di dalam bidang sukan, dia akan berjaya dalam bidang itu,” katanya.

-pru14.tv-

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*