Pelan TN50 Bantu Realisasi Lebih 50 Peratus Tenaga Pakar Tempatan Wanita

Share This:

Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dianggap satu perancangan yang mampu merealisasikan sasaran lebih 50 peratus tenaga pakar tempatan terdiri daripada wanita.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ia mampu dicapai dengan pelaksanaan pelbagai aspirasi yang disuarakan generasi muda untuk TN50 seperti peluang pendidikan dan pekerjaan lebih baik, terutama untuk kaum wanita.

“Di Malaysia bilangan wanita sudah melebihi 50 peratus (daripada jumlah rakyat) jadi tidak keterlaluan kita sasar tinggi supaya lebih ramai teknokrat, saintis, ahli ekonomi atau pakar bidang tertentu adalah wanita.

“Sebelum ini kita berjaya lahirkan seorang wanita muda tempatan yang menemui bukti kewujudan lubang hitam, (jika) pakar seperti ini kita mampu lahirkan maka tidak mustahil kita boleh lahirkan lebih ramai pakar lain,” katanya kepada pemberita, di Alor Gajah, Melaka, semalam.

Terdahulu, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, menghadiri sesi ‘Town Hall TN50’ di Kolej Matrikulasi Melaka di Masjid Tanah di sini yang turut dihadiri kira-kira 600 pelajar institusi pengajian tinggi dan universiti awam di Melaka.

Beliau berkata selain kepakaran untuk Malaysia, pakar yang dilahirkan negara ini boleh dikongsi dengan seluruh dunia bagi membantu pembangunan dan kemajuan di negara lain.

“Apabila saya melihat keadaan peserta hari ini yang begitu bersemangat melahirkan aspirasi dan harapan TN50 mereka, saya percaya apa yang diharapkan dalam TN50 ini terutama melahirkan tenaga pakar wanita itu mampu jadi kenyataan,” katanya.

Kejayaan wanita Malaysia yang disebut Mas Ermieyati merujuk kepada Nur Adlyka Ainul Annuar, 27, seorang pelajar ijazah doktor falsafah Astrofizik di Universiti Durham, United Kingdom (UK).

Anak kelahiran Muar, Johor itu merupakan antara sekumpulan pakar astronomi dunia yang berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam supermasif di sebuah galaksi yang terletak kira-kira 38 juta tahun cahaya dari bumi.

Wanita itu membentangkan penemuan pasukannya dalam satu kertas kerja bertajuk ‘Black Holes, Green Galaxies, Old Stars & NuSTARs’ pada perjumpaan Persatuan Astronomi Amerika Syarikat ke-229 awal tahun ini. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

One thought on “Pelan TN50 Bantu Realisasi Lebih 50 Peratus Tenaga Pakar Tempatan Wanita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*