Lambatnya Guan Eng Hendak Serahkan Kertas Kerja RM305 Juta Projek Terowong

Share This:

Kerajaan meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya berhenti memberikan alasan tidak munasabah berkenaan kajian yang dijalankan untuk membina terowong dasar laut atau pun Jambatan Ketiga Pulau Pinang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Guan Eng tidak perlu menangguhkan lagi pertemuan dengan Kementeriannya meskipun alasan yang diberikan kajian yang dibuat hanya mampu disiapkan setakat 87 peratus.

Malah kata beliau, Guan Eng diminta untuk bertemu dengan Kementerian Kerja Raya minggu depan bagi membincangkan isu berhubung kelewatan menyiapkan kajian bernilai RM305 juta itu.

Guan Eng juga katanya tidak perlu menunjukkan rasa terkejut terhadap permintaan Kementerian Kerja Raya yang mahukan beliau menyerahkan dokumen sokongan.

“Sudah lima kali kementerian memohon mendapatkan dokumen sokongan itu bagaimanapun Guan Eng masih belum menyerahkannya.

“Guan Eng sendiri yang memaklumkan pada Ogos 2016, bahawa kajian berkenaan masih belum siap dan dijangka dapat diserahkan kepada kami sama ada hujung tahun lalu atau awal tahun ini.

“Suku pertama tahun ini sudah berakhir dan menjadi hak kami untuk mendapatkan maklumat terkini daripada beliau.

“Kami sangat terkejut apabila Guan Eng memberitahu bahawa kajian setakat ini masih 87 peratus dan belum dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Fadillah berkata, tujuh bulan lalu, Guan Eng mengatakan sehingga Ogos 2016, kajian yang dilaksanakan adalah sebanyak 84 peratus.

Sedangkan sebelum ini beliau membuat pengumuman bahawa kajian itu dapat disiapkan sepenuhnya dan dihebahkan kepada umum pada April 2014.

Fadillah difahamkan alasan yang diberikan oleh Guan Eng berhubung kelewatan kajian berkenaan adalah disebabkan proses penambakkan masih belum dapat disiapkan sekalipun projek berkenaan sudah diberikan sejak 1999 dan DAP mengambil alih pemerintahan negeri itu sejak sembilan tahun lalu.

Katanya, beliau dimaklum projek tambakkan berskala besar itu sudah bermula bahagian pulau sejak setahun lalu.

“Kami perhatikan tiada kerja pembinaan peringkat negeri dijalankan untuk nilai RM6.34 bilion, sama ada untuk terowong atau lebuh raya link ketiga sedangkan kerajaan Pulau Pinang memaklumkan pada pihak awam bahawa kerja pembinaan akan bermula 2015.

“Kami sangat terkejut apabila Guan Eng memberi jawapan bahawa tiada keperluan untuk menyiapkan kajian itu dalam masa yang ditetapkan,” katanya.

Kenyataan itu menyebut kerajaan negeri sudah membayar sekurang-kurangnya RM135 juta daripada RM305 juta kos untuk kajian itu dan RM2.83 bilion tanah negeri Pulau Pinang yang ditukar untuk projek prajualan oleh syarikat konsesi terowong itu kepada sebuah syarikat yang tersenarai dalam satu majlis menandatangani perjanjian pada 15 Januari 2016 yang dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

One thought on “Lambatnya Guan Eng Hendak Serahkan Kertas Kerja RM305 Juta Projek Terowong

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*