Sumbang Mahram Dengan Anak Tiri, Lelaki Dijel 25 Tahun, 16 Sebatan

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan enam sebatan terhadap seorang lelaki yang melakukan sumbang mahram dengan anak tiri yang kini berusia 20 tahun.

Hakim G Ramesh membuat keputusan itu terhadap seorang peniaga nasi lemak berusia 40-an, selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut dua pertuduhan itu, dia didakwa melakukan sumbang mahram dengan kerelaan anak tirinya, selain melakukan persetubuhan luar tabii dengan memasukkan kemaluan ke dalam mulut.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Bandar Baru Nilai dekat sini, antara Oktober tahun lalu hingga Februari tahun ini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376(B) dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan, serta penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan pertama, dia dihukum penjara 16 tahun dan empat sebatan. Bagi satu lagi pertuduhan, dikenakan penjara sembilan tahun dan dua sebatan, dengan kedua-dua hukuman berjalan berasingan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, hakim beberapa kali bertanya sama ada tertuduh memahami pertuduhan dan masih mahu mengaku bersalah.

Dia yang kerap menundukkan sambil menggelengkan kepala sepanjang prosiding tetap dengan keputusan mengaku bersalah dan menangis sebaik hakim selesai membacakan keputusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *