#PRKTjgDatu : Berilah Kemenangan Besar Di Tanjong Datu Untuk Hargai Tok Nan

Hanya tinggal sehari sahaja baki kempen Pilihan Raya Kecil N03 Tanjong Datu. Sepanjang 13 hari berkempen, esok adalah hari penentu buat 9,960 orang pengundi berdaftar di DUN N03 Tanjong Datu.

Tidak dinafikan, DUN Tanjong Datu merupakan kubu kuat Barisan Nasional sejak sekian lama. Ini dibuktikan dengan jumlah majoriti yang diraih oleh Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem sebelum ini yang meraih 5,892 undi majoriti pada Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lalu.

Kali ini senarionya agak berbeza. Calon Barisan Nasional, Datuk Amar Hajah Jamilah Anu bakal ditentang oleh calon dari Parti Reformasi Sarawak ( STAR), Johnny anak Aput dan calon dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Rapelson Richard Hamit. Jika dilihat dari ketiga-tiga calon ini, diakui, Datuk Amar Jamilah mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Namun, harus diingat, kelebihan berkenaan bukan jaminan buat beliau mampu meraih undi yang banyak dan sekaligus memenangi Pilihan Raya Kecil N03 Tanjong Datu. Beliau memerlukan undi yang banyak dan sekaligus menuntut semua 9,971 orang pengundi berdaftar di DUN ini untuk keluar beramai-ramai bagi membuang undi.

Jika ini mampu dilaksanakan oleh semua pengundi berdaftar di DUN ini, tidak mustahil, Datuk Amar Jamilah akan cukup selesa meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tok Nan. Ia juga merupakan manifestasi rakyat yang enggan memalukan Allahyarham Tok Nan, baik Allahyarham masih hidup mahupun selepas meninggal dunia.

Bagi parti komponen Barisan Nasional di sini, sokongan berterusan mereka dalam menjalankan kempen di sini, cukup dituntut. Adalah tidak adil jika membiarkan Pengarah Pilihan Raya Kecil N03 Tanjong Datu, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersendirian pada waktu kritikal sebegini.

Cukup menarik jika melihat, semua parti komponen Barisan Nasional Sarawak berganding bahu dengan beliau bagi memastukan semua pengundi berdaftar, keluar mengundi dan sekaligus memastikan kemenangan besar Datuk Amar Jamilah Anu di DUN peninggalan Allahyarham suaminya.

Kini, tidak sampai 24 jam lagi berbaki, jentera pilihan raya Barisan Nasional di sini usah leka dibuai janji kemenangan mudah. Hanya dengan mempunyai majoriti besar, segala perancangan yang dibuat oleh Allahyarham Tok Nan dapat diteruskan oleh pengganti beliau.

Pastikan kesemua 9,971 orang pengundi berdaftar keluar mengundi esok bagi meneruskan perjuangan dan legasi Allahyarham Tok Nan terus marak. Pastikan, apa yang telah dirintis Allahyarham, kekal menjadi pegangan yang kukuh untuk kesemua lebih 32 ribu orang anak jati DUN Tanjong Datu.

Keluarlah mengundi. Jalankan tanggungjawab anda.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*