#PRKTjgDatu : Kami Penerus Legasi Bapa Kami – Najib

Share This:

Tiada siapa yang menyangka bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg mempunyai hubungan kimianya yang tersendiri. Semua ini didedahkan sendiri oleh kedua-dua orang pemimpin utama negara ini ketika Datuk Seri Mohd Najib merasmikan Medan Selera Lundu, di sini tengah hari tadi.

Kira-kira 54 tahun yang lalu, Perdana Menteri yang kedua, Tun Abdul Razak Hussien telah bertemu dengan Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Abang Haji Openg di Kuala Lumpur bagi memuktamadkan perjanjian penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Persekutuan Malaysia. Perjanjian ini telah dimuktamadkan pada tahun 1963 dengan Singapura telah mengkhianati perjanjian ini pada tahun 1965.

Tahun demi tahun, perjanjian ini terus digenggam oleh kedua-dua belah pihak di mana isi kandungan perjanjian ini tidak pernah disemak oleh mana-mana Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak sehinggalah perlantikan Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Ketika pentadbiran Allahyarham Tok Nan, beliau mengambil inisiatif tersendiri dalam menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di mana ada diantara kuasa yang terkandung di dalam perjanjian ini telah diambil samada sengaja atau tidak sengaja oleh kerajaan Persekutuan. Allahyarham telah menggerakkan usaha untuk menuntut semula beberapa hak kerajaan negeri dan ianya mendapat kerjasama baik oleh kerajaan Persekutuan.

Setelah Allahyarham Tok Nan meninggal dunia, timbul banyak persoalan yang mendakwa, segala tuntutan kerajaan negeri berkemungkinan besar tidak diteruskan lagi oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Abang Joe. Namun, semua tanggapan negatif ini telah terjawab dengan sendiri apabila Abang Joe memberikan komitmen beliau untuk meneruskan usaha Allahyarham Tok Nan bagi menuntut semula hak-hak kerajaan negeri.

Apa yang menariknya, dalam ucapan kedua-dua orang pemimpin ini mendedahkan, mereka berdua adalah penyambung kepada legasi yang dimulakan oleh kedua-dua bapa mereka disamping meneruskan legasi peninggalan Allahyarham Tok Nan. Ini secara tidak langsung menjadikan, rundingan mengenai tuntutan Sarawak ini menjadi lebih mudah dan hanya tunggu untuk di muktamadkan sahaja.

Dalam sidang media sebentar tadi, Datuk Seri Mohd Najib memberitahu, fasa pertama rundingan berkenaan dari aspek perguruan, pendidikan dan beberapa pertindihan kuasa, telah berjaya dimuktamadkan antara beliau dan Allahyarham Tok Nan. Fasa kedua rundingan ini telahpun berlangsung antara beliau dan Abang Joe di mana fasa ini disifatkan oleh beliau lebih kompleks berbanding fasa pertama.

Dalam kenyataan yang sama, Datuk Seri Mohd Najib memberitahu, pihak kerajaan Persekutuan tidak ada apa-apa halangan untuk memulangkan hak-hak kerajaan negeri setelah rundingan mengenainya mencapai kata sepakat. Katanya, apa yang penting, kesejahteraan rakyat Sarawak di beri keutamaan disamping menghormati usaha yang telah digerakkan oleh Tun Abdul Razak dan Tun Abang Haji Openg, 54 tahun yang lalu.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*