Pedati Emas Sedang Disiapkan Untuk Perjalanan Terakhir Mendiang Raja Thailand

Share This:

Ukiran kemasan perincian emas pada sebuah pedati di Thailand kini giat disiapkan untuk persediaan membawa jasad mendiang Raja Thailand untuk perjalanan terakhirnya.

Difahamkan, kerja berkenaan perlu diselesaikan dengan penuh teliti oleh pasukan petugas khas di Bangkok yang akan mengambil masa berbulan-bulan.

Menurut laporan agensi berita Reuters, ia bina menggunakan bahan kayu dan dihiasi kepingan dan ornamen saduran emas serta potongan kaca, pedati seberat 13.7 tan itu berukuran 18 meter panjang, 11.2 meter tinggi dan 4.8 meter lebar.

Bakal ditarik oleh 216 lelaki, ia akan membawa takar besar berdekorasi penuh yang mengandungi jasad Raja Bhumibol Adulyadej ke lokasi pembakaran mayat di Sanam Luang di luar Istana Diraja.

Raja Bhumibol mangkat pada 13 Oktober tahun lalu selepas tujuh dekad bertakhta. Kemangkatannya telah menyelubungi seluruh rakyat negara itu dalam suasana perkabungan, yang mengambil masa sehingga setahun lamanya.

Setakat ini tiada tarikh ditetapkan untuk proses pembakaran, namun dipercayai tidak akan dilakukan sebelum Oktober tahun ini.

Dikenali sebagai ‘Pedati Kemenangan Gemilang’, kenderaan itu dalam kepercayaan rakyat tempatan yang majoriti beragama Buddha-Theravada, akan membawa figura tersanjung itu ‘kembali ke syurga’.

Proses renovasi bermula pada Januari lalu dan dijangka siap menjelang September.

Pedati itu kali pertama dibina pada tahun 1795 sewaktu zaman pemerintahan Raja Rama I untuk upacara pembakaran ayahandanya.

Raja Bhumibol merupakan Rama IX dalam susur galur Dinasti Chakri. Takhtanya kini diambil alih oleh puteranya, Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun, atau dikenali sebagai Rama X.

Pedati itu telah digunakan sebanyak 25 kali, dan paling akhir digunakan pada tahun 2012 sewaktu upacara pembakaran mayat Puteri Bejaratana Rajasuda, iaitu sepupunya. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*