“Perang Harga” Tiket Penerbangan

Industri penerbangan Malaysia dijangka semakin mencabar pada tahun ini dengan persaingan sengit dalam kalangan enam syarikat penerbangan utama tempatan, yang mana bakal menyaksikan ‘perang harga tambang’ yang berterusan, kata penganalisis.Pusat Kajian Industri Penerbangan Dunia (CAPA) berkata, pasaran Malaysia dan Asia Tenggara akan terus menjadi lokasi persaingan sengit, dengan lebihan kapasiti di beberapa laluan utama.

“Syarikat penerbangan tempatan akan terpaksa mengurangkan lagi tambang bagi kekal berdaya saing dan jika mereka mahu berjaya mencapai sasaran faktor muatan dan seterusnya trafik,” katanya dalam satu nota penyelidikan yang dihantar kepada BH.

Ia berkata, penurunan faktor muatan mungkin berlaku dan boleh menyebabkan penurunan dalam kadar pertumbuhan keseluruhan pasaran di Malaysia.

“Namun, sekurang-kurangnya buat masa ini, strategi di seluruh sektor adalah ‘perang harga’ yang agresif selain mempercepatkan penambahan kapasiti.

“Persekitaran pasaran di Malaysia berkemungkinan akan merosot menuju ke penghujung tahun dan boleh berubah menjadi buruk pada separuh kedua tahun ini, apabila kadar penambahan pesawat meningkat mendadak,” katanya.

Bagi keseluruhan tahun ini, CAPA berkata, industri penerbangan Malaysia yang diterajui oleh enam syarikat penerbangan tempatan dijangka mencatatkan pertumbuhan jumlah penumpang yang kukuh, iaitu sebanyak 17 peratus.

Pertumbuhan dua angka itu bagi 2017 itu adalah berdasarkan kepada unjuran kapasiti semasa bagi semua syarikat penerbangan terbabit. Malindo Air dijangka menyokong separuh daripada pertumbuhan yang diunjurkan itu, merangkumi hampir separuh daripada 10 juta tambahan penumpang berbanding tahun lalu.

“Mengambil kira pertumbuhan syarikat penerbangan luar (yang beroperasi di Malaysia) agak sederhana pada enam peratus, industri penerbangan Malaysia secara keseluruhannya akan berkembang sebanyak 15 peratus tahun ini, kepada 78 juta penumpang,” katanya dalam laporan tinjauan penerbangan Malaysia 2017.

CAPA, bagaimanapun berkata pertumbuhan pesat itu akan mempengaruhi pulangan dan keuntungan syarikat penerbangan tempatan. Jumlah trafik penumpang di Malaysia tahun lalu meningkat sebanyak tujuh peratus, kepada 67.9 juta penumpang.

Ia pertumbuhan paling pesat sejak 2013, apabila pasaran tempatan ketika itu berkembang hampir 20 peratus dipacu oleh rancangan pengembangan pantas Malaysia Airlines, AirAsia dan AirAsia X. Pertumbuhan perlahan kepada lima peratus pada 2014 dan hanya satu peratus pada 2015.

Pertumbuhan pantas pada 2016 dipacu terutama oleh pengembangan pantas Malindo Air dan syarikat penerbangan jarak jauh tambang murah, AirAsia X. Jumlah penumpang Malindo Air meningkat lebih 50 peratus kepada 5.6 juta penumpang, manakala penumpang AirAsia X ke dalam dan luar Malaysia menokok 25 peratus kepada 4.5 juta penumpang.

Malindo Air mengatasi AirAsia X pada 2015 untuk menjadi syarikat penerbangan ketiga terbesar dalam pasaran tempatan selepas AirAsia dan Malaysia Airlines. Trafik penumpang AirAsia X merosot pada 2015 apabila syarikat itu distruktur semula, manakala Malindo Air berkembang dengan pesat sejak pelancarannya pada Mac 2013.

Malindo Air menguasai lapan peratus pasaran keseluruhan Malaysia pada 2016, pencapaian mengangumkan bagi sebuah syarikat yang hanya berusia tiga tahun. AirAsia pula berkembang lebih pantas berbanding purata pasaran tahun lalu, apabila melaporkan pertumbuhan lapan peratus kepada 26.4 juta penumpang. Ia menguasai 39 peratus pasaran penumpang pada tahun lalu.

-BH

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*