#PRKTjgDatu : Tiada Apa Yang Mampu Diperjuangkan Oleh Pembangkang

Share This:

Tiada siapa yang mempertikaikan pencalonan dua orang calon dari Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDS-B) Rapelson Richard Hamid dan calon dari parti STAR, Johnny Anak Aput dalam Pilihan Raya Kecil N03 Tanjung Datu kali ini. Sudah resam politik dan amalan demokrasi, kedua-dua calon ini bebas untuk bertanding di mana sahaja yang mereka suka.

Cuma apa yang ingin dipersoalkan, apa yang mampu mereka perjuangkan di DUN ini memandangkan mereka berdua bukan anak jati atau ada kena mengena dengan mana-mana pihak di DUN ini? Umum sedia maklum, Rapelson bukan berasal dari DUN ini, sebaliknya beliau berasal dari Siburan. Malah pada Pilihan Raya Negeri ke 11 tahun lalu, beliau bertanding atas tiket Parti Amanah Negara (PAN) di N26 Gedong.

Begitu juga Pengerusi Tetap STAR, Johnny Aput yang berasal dari Serian dan hanya bertanding atas kapasitinya sebagai Pengerusi parti bagi menyemarakkan demokrasi, bukan untuk membela nasib rakyat. Melihat kepada latar belakang dua calon ini, pasti timbul persoalan, andai mereka berjaya memenangi kerusi ini nanti, apa agenda mereka untuk membela nasib rakyat di DUN Tanjung Datu?

Mungkin bagi Rapelson, antara perkara yang mahu diperjuangkan olehnya adalah hak tuntutan pada tanah adat (NCR) yang sejak sekian lama diperjuangkan oleh etnik Dayak di Sarawak. Selaku aktivis masyarakat, beliau ada memberitahu mahu memfokuskan kepada isu ini dan ianya bakal diperjuangkannya sepanjang kempen kali ini.

Persoalannya, apa pembangunan yang ingin dibawa olehnya jika hanya ingin memberi tumpuan kepada hak tuntutan NCR semata-mata? Bagaimana pula nasib rakyat di DUN ini jika beliau sendiri bukan anak jati yang mendiami DUN ini? Pasti akan banyak timbul konflik yang berpanjangan di mana pasti agenda pembangunan di DUN ini tidak akan mampu dilaksanakan dengan berkesan.

Bagi Johnny pula, kenyataan beliau sewaktu sebelum memasuki pusat penamaan calon sudah menggambarkan apa yang ingin dilakukannya sepanjang tempoh berkempen kali ini. Beliau secara terang-terangan meletakkan dirinya sebagai calon “bidan terjun” setelah tiada seorangpun ahli STAR mahu bertanding di kerusi ini kerana mengenang kewibawaan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem.

Ketika diajukan soalan apa isu dan hala tuju kempennya, beliau sendiri gagal untuk memberikan jawapan yang tepat selain daripada memberitahu, penyertaannya adalh untuk menyemarakkan sistem demokrasi di Sarawak dan memberi lebih banyak peluang untuk rakyat Sarawak memilih calon yang mereka kehendaki. Adakah ini calon yang mahu di ketengahkan untuk menerajui rakyat di N03 Tanjung Datu?

Secara rumusannya, untuk melaungkan perubahan memang mudah. Namun untuk melakukan perubahan atau membawa kemajuan sememangnya cukup sukar terutamanya apabila calon itu bukannya datang dari pihak kerajaan. Pemilihan Datuk Amar Jamilah Anu sebagai calon setidak-tidaknya memberikan harapan bahawa segala agenda yang dirangka Allahyarham sebelum ini bakal diteruskan oleh Datuk Amar Hajah Jamilah.

Kita sudah berenjak kearah negara maju dan sudah menjadi hasrat Allahyarham untuk melihat Sarawak maju pada tahun 2030. Usah mudah memperjudikan nasib dan masa depan hanya kerana mahu kelainan dengan meletakkan calon yang bukan anak tempatan dan memperjuangkan masa hadapan penduduk di DUN Tanjung Datu, sebagai ketua.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*