Dari Negarawan Kepada Pengkhianat Dan Kini Menjadi Penderhaka

Share This:

Satu ketika dahulu, nama Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa dikenang sebagai seorang tokoh negarawan yang telah merubah landskap ekonomi negara daari bergantung kepada hasil pertanian kepada sebuah negara industri. Benar, sukar untuk menidakkan apa yang telah beliau lakukan selama 22 tahun mentadbir negara.

Walaupun sepanjang pentadbirannya, terlalu banyak ketirisan yang dilakukan olehnya, namun setidak-tidaknya, beliau berjaya membawa nama Malaysia kepersada antarabangsa. Itulah Tun Dr Mahathir yang kita kenali sebelum wataknya berubah menjadi seorang pengkhianat kaum Melayu hari ini.

Bagi kalangan pentaksubnya, apa yang dilakukan Mahathir hari ini pasti mereka sifatkan sebagai satu perjuangan asli untuk membela nasib negara. Namun, hakikat sebenarnya, beliau telah mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan terhadapnya semasa masih berkuasa. Beliau bukan sahaja mengkhianati mereka yang pernah menyokongnya, malah beliau mengkhianati parti yang telah mengangkat beliau satu ketika dahulu.

Beberapa tahun kebelakangan ini, apa yang dilakukan Mahathir, nyata mengecewakan ramai pihak yang pernah menyokongnya. Manakan tidak, seperti orang yang kemaruk kuasa, pada usia yang sudah terlalu lanjut, beliau aktif menyebarkan pelbagai dakyah dan fitnah hanya semata-mata mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Beliau memberikan alasan, apa yang dilakukan hanyalah untuk menyelamatkan Malaysia tetapi, adakah berbaloi untk menyelamatkan Malaysia, beliau bertindak bersekongkol dengan pihak luar dan pembangkang hanya semata-mata mahu menjatuhkan kerajaan dan Datuk Seri Mohd Najib? Bukankah itu merupakan satu tindakan pengkhianatan terbesar terhadap parti dan juga negara?

Setelah dijulang sebagai seorang negarawan ulung kemudian bertukar menjadi pengkhianat, kini, Mahathir sekali lagi bertukar kepada seorang penderhaka. Semuanya bermula apabila beliau mendakwa, projek Forest City di Johor adalah salah satu contoh bagaimana pemimpin menjual tanah milik negara kepada pihak luar dan dalam kes ini, dakwanya, tanah berkenaan dijual kepada pihak China.

Hal ini telah menerbitkan kemurkaan Paduka Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menyifatkan Mahathir sebagai seorang yang cukup suka menyebarkan fitnah keterlaluan. Sukar untuk melihat Kebawah Duli Tuanku Sultan Johor murka sedemikian rupa dan Mahathir sekali lagi mencari sebab dengan Istana Johor hasil daripada tutur katanya yang dianggap terlalu biadab.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Mahathir seperti mempersendakan Kesultanan Negeri Johor kerana sebelum ini, semasa beliau masih berkuasa, Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar juga terpaksa menerima helah kotor Mahathir hanya untuk melemahkan kuasa Sultan-Sultan Melayu pada ketika itu.

Walaupun beliau telah memohon maaf secara terbuka, namun luka yang berjaya di buat Mahathir terhadap keluarga Kesultanan Johor amat sukar untuk diubati. Justeru, tingkah laku dan tutur kata Mahathir yang terbaru ini sememangnya amat mudah mengundang murka Kebawah Duli Tuanku Sultan Ibrahim.

Berdasarkan apa yang telah berlaku sejak akhir-akhir ini dengan Mahathir sendiri merelakan dirinya dilabel sebagai penderhaka, boleh dikatakan, lengkaplah kitaran perjalanan seorang ahli politik tua yang begitu mendambakan kuasa kekal dalam miliknya. Percayalah, Mahathir tidak akan terhenti setakat ini kerana doktrin yang diterapkan DAP pasti akan membangkitkan satu lagi isu membabitkan dirinya dengan kaum Melayu yang lain.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*