SPR Tunggu Pengesahan Kekosongan Kerusi DUN Tanjong Datu

Seperti biasa yang diamalkan oleh sistem demokrasi berParlimen negara, jika berlaku kematian atau hilang kelayakan di sesebuah kerusi DUN mahupun Parlimen, Speaker DUN atau Parlimen akan memaklumkan kekosongan kerusi terbabit kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum satu tarikh ditetapkan untuk diadakan Pilihan Raya Kecil.

Dalam hal ini, SPR akan mengadakan mesyuarat khas selepas memnerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung kekosongan kerusi DUN Tanjong Datu berikutan kematian penyandangnya, Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem.

Hal ini disahkan sendiri oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam kenyataan hari ini dan berkata SPR mengambil maklum akan pengumuman pemergian Allahyarham. Beliau juga berkata, sebarang maklumat lanjut mengenai perkara tersebut akan dibuat dari semasa ke semasa.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak, Mei Lalu, Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan telah berjaya mempertahankan kerusi yang disandang beliau sejak Pilihan Raya Negeri 2006 dengan menewaskan calon dari PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 6,828 undi. Sebelum ini, Allahyarham merupakan ADUN Muara Tuang sejak Pilihan Raya Kecil pada Januari 1979.

Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan, 72 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.24 tengah hari semalam di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching berikutan komplikasi jantung yang dialaminya. Beliau meninggalkan seorang balu, Datin Patinggi Datuk Amar Hajah Jamilah Haji Anu dan 5 orang anak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *