Mereka Semua Pergi Semasa Masih Bertugas

Share This:

Pemergian Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Bin Haji Satem semalam nyata cukup mengejutkan. Disaat tinggal beberapa hari lagi ulang tahun kelahirannya tiba dan kira-kira 2 bulan lagi sebelum tahun ketiga pentadbirannya bakal disambut, beliau pergi dengan meninggalkan jasa yang cukup besar kepada seluruh warga Sarawak.

Dengan pemergian Allahyarham semalam, ianya telah meletakkan namanya sebagai salah seorang pemimpin yang pergi meninggalkan kita semasa masih bertugas. Berikut merupakan beberapa nama bekas-bekas pemimpin yang pergi semasa masih lagi bertugas untuk negara.

1. Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien

Pada tanggal 14 Januari 1976, negara dikejutkan dengan pemergian Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien di sebuah hospital di London. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir disisi isteri beliau, Tun Rahah akibat penyakit leukimia yang di tanggung beliau sejak beberapa tahun terakhir kehidupan beliau.

Sebenarnya, beliau telah didapati menanggung penyakit ini oleh doktor peribadinya dan perkara ini cuba dirahsiakan dari pengetahuan kaum keluarganya sehinggalah beliau benar-benar sakit tidak lama sebelum beliau meninggal dunia. Satu-satunya insan yang mengetahui penyakitnya adalah Timbalan beliau sendiri, Allahyarham Tun Dr Ismail yang merahsiakan penyakit beliau sehinggalah Tun Dr Ismail sendiri meninggal dunia.

Allahyarham telah meninggalkan seorang balu, Tun Rahah binti Tan Sri Mohammad Noah dan lima orang anak lelaki. Anak sulung Allahyarham, Datuk Seri Mohd Najib kini merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keenam.

2. Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman

Siapa dapat menyangkal kehebatan dan ketajaman pemikiran bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia ini. Allahyarham Tun Dr Ismail hadir tepat pada masanya disaat Perdana Menteri pada ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak amat memerlukan seorang yang mempunyai pandangan jauh dalam membantu beliau membentuk semula Malaysia pasca tragedi berdarah 13 Mei 1969.

Sebagai seorang manusia biasa, beliau juga tidak terlepas dari diuji oleh Allah S.W.T dari segi kesihatan. Beliau disahkan menghidap sakit jantung namun seperti Tun Abdul Razak, beliau memilih untuk merahsiakan penyakitnya. Hanya isterinya sahaja tahu penderitaan yang ditanggung oleh Tun Dr Ismail.

Pada tanggal 2 Ogos 1973, semasa memangku jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail menghembuskan nafasnya yang terakhir di kediamannya. Hal ini cukup mengejutkan Tun Abdul Razak yang pada ketika itu membawa misi Malaysia di luar negara. Beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Kuala Lumpur.

3. Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis

Sepanjang Allahyarham aktif berpolitik, beliau di kenali sebagai seorang yang cukup tegas pendiriannya. Ketajaman fikirannya dalam menentukan hala tuju ekonomi juga tidak mampu untuk disangkal lagi. Beliau adalah duta Malaysia ke Amerika Syarikat sebelum di lantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

Imej beliau yang lengkap sepersalinan baju Melayu semasa bergambar dengan Presiden Amerika, Barrack Obama satu ketika dahulu merupakan antara imej yang sentiasa diingati oleh rakyat Malaysia. Namun, siapa menyangka, hayat beliau berakhir apabila beliau terlibat dalam kemalangan helikopter di Semenyih pada 4 April 2015 semasa sedang melawat projek Perumahan Rakyat di sini.

Kemalangan yang turut mengorbankan 4 yang lain ini cukup memberi kesan yang mendalam kepada Datuk Seri Mohd Najib selaku rakan yang amat rapat dengan beliau. Kini, Parlimen Rompin yang diwakili Allahyarham telah diisi oleh bekas Timbalan Menteri Besar Pahang, Datuk Hassan Arifin yang memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin, 5 Mei 2015.

4. Allahyarham Tan Sri Hajjah Noriah Kasnon

Disaat rakyat negeri Sarawak sedang bersiap sedia untuk menjalankan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 11, sebuah helikopter yang membawa dua orang Ahli Parlimen Barisan Nasional terhempas di Kampung Triso, Sebuyau, Sarawak. Kejadian ini dikatakan berpunca daripada cuaca buruk yang turut mengorbankan suami Allahyarham, Datuk Asmuni Abdullah dan 5 yang lain.

Kemalangan ini nyata cukup meninggalkan kesan yang mendalam buat kementerian dan Parlimen yang diwakili Allahyarham sejak 2004. Hari ini, Parlimen Sungai Besar diwakili oleh Budiman Mohd Zohdi yang juga ADUN Sungai Panjang. Beliau berjaya mengekalkan kerusi ini menjadi milik Barisan Nasional dengan kemenangan majoriti 9,191 undi setelah menewaskan calon dari PAN dan juga PAS.

5. Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar bin Wan Ahmad

Pemergian beliau cukup diratapi oleh rakyat di Parlimen Kuala Kangsar yang mana, banyak lagi hasrat dan impian beliau masih belum terlaksana. Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il menemui ajal sewaktu terlibat dalam kemalangan helikopter di Kampung Triso, Sebuyau bersama-sama dengan Allahyarham Tan Sri Hajjah Noriah Kasnon.

Bayangkan pada ketika kehangatan Pilihan Raya Negeri Sarawak, Barisan Nasional kehilangan dua orang Ahli Parlimen serentak dan ianya merupakan hari paling sedih buat Barisan Nasional. Hari ini, tempat beliau digantikan oleh isterinya sendiri, Datin Mastura Mohd Yazid setelah berjaya memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar dengan majoriti 6,969 undi setelah menewaskan calon PAN dan PAS.

6. Allahyarham Ustaz Datuk Haron Din

Beliau merupakan pengganti kepada Mursyidul Am PAS sebelum ini, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menerusi sikap sederhana beliau, usaha penyatuan antara PAS dan UMNO dilihat mempunyai masa depan yang cukup cerah. Namun begitu, faktor kesihatan jelas sedikit sebanyak telah mengganggu urusan beliau selaku Mursyidul Am PAS.

Beliau kerap kali dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) berikutan masalah jantung yang beliau hadapi. Namun, sudah ketentuan Allah S.W.T, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di Stanford Health Care, San Francisco, California, Amerika Syarikat pada tanggal 16 September 2016, pada hari rakyat Malaysia meraikan Hari Malaysia kali ke 53.

Mengambil kira kemahuan beliau sewaktu masih bernyawa, jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di San Francisco keesokan harinya.

7. Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Bin Haji Satem

Harus diakui, pemergian Allahyarham secara mengejut di Pusat Jantung, Institut Jantung Negara Kota Samarahan semalam cukup mengejutkan. Beliau merahsiakan penyakitnya dari pengetahuan umum walaupun spekulasi tentang kesihatannya sudah bertiup kencang sejak sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan lagi.

Beliau merupakan Ketua Menteri Sarawak kelima yang mana sikap rendah diri dan mesra rakyat nyata memberi impak kepada populariti dan kejayaannya mentadbir Sarawak untuk hampir 3 tahun. Kejayaannya menerajui Barisan Nasional Negeri dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 11, Mei tahun lalu nyata meninggalkan memori yang amat manis buat Barisan Nasional negeri dan pusat.

Jenazah beliau telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, selepas solat Zohor sebentar tadi. Nyata, jasa yang telah beliau tinggalkan cukup meruntun jiwa setiap anak Sarawak dan ianya dibuktikan apabila ribuan pengunjung hadir semasa upacara penghormatan terakhir, solat jenazah dan majlis pengebumian Allahyarham.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*