Panjat Menara Komunikasi, 2 Lelaki Digesa Serah Diri

Terkini, polis menasihatkan dua penuntut universiti yang video mereka tersebar ketika menceroboh dan memanjat menara pencawang telekomunikasi di Bukit Chendering, Kuala Terengganu, supaya menyerah diri.

Datuk Rosli Ab Rahman, Ketua Polis Negeri menyatakan bahawa berdasarkan maklumat diperoleh, video terbabit dikatakan dirakam dua tahun lalu namun ia kembali tersebar berikutan kes memanjat ‘IPOH’ di Perak tempoh hari.

Bagaimanapun, katanya satu laporan dibuat oleh Ketua Balai Polis Chendering selepas melihat video viral berkenaan beberapa hari lalu.

“Justeru, satu kertas siasatan dibuka berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 447 kerana menceroboh tempat persendirian. Walaupun aktiviti berkenaan dikatakan dibuat pada tahun 2015, ia tidak menghalang siasatan dijalankan terhadap mereka” katanya selepas Program Pasca Banjir di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang.

“Polis sudah mengenal pasti identiti kedua-dua lelaki terbabit yang juga penuntut universiti di negeri ini, namun kami meminta mereka menyerah diri untuk membantu siasatan,” katanya lagi.

Rosli turut menyatakan bahawa pihaknya sedang mengesan video viral membabitkan satu lagi kes iaitu memanjat mercu tanda negeri ini di Bukit Besar.

Tambahnya lagi, pihaknya kini sudah mengesan gambar berhubung aktiviti berkenaan oleh sekumpulan lelaki, namun sedang mengumpul maklumat lanjut untuk menyiasat kes terbabit.

“Kita sedang mencari video berhubung aktiviti itu bagi membolehkan semua suspek dikenal pasti, namun polis sudah memiliki gambar yang menunjukkan aktiviti memanjat mercu tanda itu wujud” ujarnya.

-pru14.tv-

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*