Faiz Subri Penutup Tahun Gemilang Sukan Negara

Share This:

Siapa sangka, liga Malaysia kini sudah mula dipandang oleh komuniti bola sepak dunia. Semuanya gara-gara sepakan luar biasa yang dilakukan oleh anak kelahiran Kedah, Mohd Faiz Subri yang kini sudah mendapat pengiktarafan FIFA sebagai gol paling cantik sepanjang 2016. Untuk ini, sekalung tahniah diucapkan kepada Mohd Faiz Subri yang akhirnya melengkapkan kisah dongengnya semalam.

Dengan terlaksananya impian Mohd Faiz semalam, ianya melengkapkan kisah gemilang sukan negara sepanjang 2016. Walaupun diakui, atlet negara bukanlah sebesar atau segagah atlet luar negara, namun hasil daripada ketekunan dan keinginan yang tinggi, segala-galanya mampu di capai. Berikut merupakan beberapa jenis sukan yang telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa sepanjang 2016.

1. Badminton

Seperti yang berlaku saban tahun, sukan ini adalah sukan yang agak kosisten dan jarang mengecewakan. Walaupun pada awalnya, suasana kelam menyelubungi kem badminton negara, namun memasuki temasya Olimpik Rio, Datuk Lee Chong Wei, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong membuktikan kemampuan mereka yang tersendiri apabila menyumbang 3 pingat perak.

Ini adalah percapaian terbaik yang pernah dihasilkan oleh barisan pemain badminton negara sepanjang penyertaan mereka ke sukan Olimpik. Namun begitu, peminat badminton negara agak sedikit kecewa kerana pingat emas yang diidamkan masih belum kunjung tiba walaupun pasangan Goh V Shem, Tan Wee Keong dan Datuk Lee Chong Wei begitu hampir mencapai impian berkenaan.

2. Terjun

Ini adalah salah satu sukan yang boleh dikategorikan sebagai sukan yang paling kosisten sejak 5 tahun lalu. Dengan menampilkan olimpian negara, Pandalela Rinong, Nur Dabithah Sabri serta beberapa orang atlet yang lain, mereka masih mampu menyumbang pingat perak menerusi Pandalela Rinong dan Cheong Jun Hoong.

Namun agak malang buat negara apabila Pandalela Rinong gagal mengulangi magis yang hadir semasa temasya olimpik di London apabila kecederaan bahu jelas menghalangnya untuk menambah jumlah kutipan pingat negara.

3. Basikal

Siapa yang dapat menafikan kehebatan Azizulhasni Awang dalam perlumbaan Keirin. Dengan gelaran The Pocket Rocket Man, beliau masih mampu menyumbang pingat gangsa buat negara walaupun terpaksa bersaing dengan jaguh-jaguh dunia yang secara fizikalnya, jauh lebih besar berbanding dirinya. Dijangkakan, beliau masih mampu menyumbang sesuatu buat negara pada sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

4. Atlet Paralimpik

Disebalik gelaran Orang Kelainan Upaya, siapa sangka tiga orang atlet paralimpik negara mampu menyumbang pingat emas dalam acara balapan. Lebih manis lagi, ketiga-tiga mereka berjaya memecahkan rekod dunia, sesuatu yang jelas mengejutkan semua pihak di Malaysia.

Nama Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi pasti akan dikenang sebagai atlet paralimpik terhebat yang dilahirkan di Malaysia. Kejayaan mereka ini telah berjaya membuka mata ramai pihak dan kini pembangunan atlet paralimpik negara telah diberi perhatian khusus oleh MSN dan KBS.

5. Permotoran

Jika di Malaysia, pihak polis amat pening menangani isu mat-mat rempit yang menjadi raja di jalanraya. Namun, disebalik semua itu, pada usia 18 tahun, Khairul Idham Pawi berjaya memecah monopoli pelumba Eropah atau benua Latin apabila mampu menjejakkan kaki ke podium.

Lebih manis lagi, beliau berjaya menaiki podium kemenangan di Argentina dan Jerman, sesuatu yang gagal dilakukan oleh mana-mana pelumba kelahiran negara.

6. Seni mempertahankan diri

Nama Muhammad Farkhan Haron mungkin asing buat mereka yang agak jarang mengikuti sukan tinju. Namun, siapa sangka, sejak beralih kepada sukan tinju profesional, beliau akhirnya berjaya mengharumkan nama negara apabila menjuarai kategori ‘light heavyweight’ Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2017, selepas menumbangkan peninju dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Kaseba.

Menariknya, perjalanan Farkhan dalam sukan ini nyata berliku sehinggalah beliau mendapat sokongan DiRaja apabila Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi sokongan penuh terhadap karier anak kelahiran Johor Darul Takzim ini.

7. Bola sepak

Tiada apa yang boleh dibanggakan oleh sukan ini sepanjang tahun lalu. Dengan kegagalan dua wakil negara dalam Piala AFC, kegagalan skuad kebangsaan dalam Piala Suzuki AFF di Myanmar, hanya menambah luka bagi peminat tempatan.

Secara tiba-tiba, munculnya watak Mohd Faiz Subri yang berjaya menyumbat gol yang amat sukar dirungkai secara logik akal. Di kota Zurich telah menyaksikan, buat pertama kalinya, pemain pertama dari Asia, dari kaum Melayu dan dan beragama Islam berjaya buat pertama kalinya memenangi Anugerah Puskas 2016.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*