Ali Setan Minta Syarat Bukan-Bukan Untuk Buat Penerbit Putus Asa

Pelakon lama, Azmil Mustapha atau lebih dikenali sebagai Ali Setan membuat permintaan jumlah bayaran yang bukan-bukan semata-mata kerana sudah bosan untuk kembali ke dunia seni.

Ada yang beliau beritahu meminta bayaran RM100,000 sehari untuk penggambaran sebuah drama.

Dia sebenarnya mahu pihak Penerbit berputus asa dan berhenti memujuknya menerima tawaran berkenaan.

“Mereka tidak putus asa pujuk dan WhatsApp saya. Saya senang saja. [Saya] cakap tidak hendak, dia tidak faham. Saya katalah ‘setuju’ tapi saya kata dengan satu syarat.

“Saya hendak satu hari gaji saya RM100,000,” kata hero filem “Ali Setan”, yang berhijrah sebagai penceramah agama mulai tahun 2000, kepada wartawan semalam.

Tawaran tersebut, tambahnya, diberikan dua tahun dulu dan syarikat penerbitan drama yang tidak dinamakan terpaksa akur dengan keputusannya.

Azmil, yang bersara sejak 1998, kali terakhir berlakon pada filem “Puteri Gunung Ledang” setelah dipujuk penerbitnya Tiara Jacquelina, 13 tahun dulu.

Namun pelakon filem “Mekanik” itu kagum dengan Tiara kerana sanggup memenuhi 10 syaratnya untuk menerima tawaran tersebut.

“Tiara datang dengan suaminya berjumpa saya. Dia setuju dengan 10 syarat saya tanpa tawar-menawar.

“Saya terima, lagi pula Tiara kawan lama saya dan Datuk M Nasir pun berlakon. Saya minat dengan dia,” katanya.

Dalam pada itu, Azmil, 64, akan mempertimbangkan jika menerima sebarang tawaran dalam penerbitan dokumentari berunsur Islam.

“Kalau dalam dokumentari Islamik, tiada masalah. Tetapi bukanlah di depan [kamera] kerana saya lebih berminat di belakang tabirlah,” katanya lagi.

Azmil ditemui di sini selepas membentangkan rancangannya untuk membina pusat pendidikan lanjutan bagi pelajar tahfiz di Mantin, Negeri Sembilan. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE