Najib Ingatkan Kakitangan Awam Jangan Ambil Hak Rakyat

Share This:

Perdana Menteri mengingatkan semua kakitangan awam supaya tidak mengambil hak rakyat dengan terlibat dalam jenayah rasuah.

Beliau memberikan reaksinya selepas beberapa kes pegawai tinggi kerajaan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

“Langkah yang diambil sehari dua ini oleh SPRM mengingatkan pada kita bahawa jangan ambil hak rakyat. Ini rakyat punya.

“Jangan ambil hak rakyat sebab kita buat peruntukan, program disediakan segala-galanya, bajet untuk rakyat. Kalau berlaku ketirisan, rakyat akan hampa dan hilang keyakinan,” katanya ketika menyampaikan amanat pertama tahun ini kepada penjawat awam di Himpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Berkenaan prestasi mata wang Ringgit Malaysia (RM), Najib yakin langkah yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjadikannya lebih stabil tahun ini akan membuahkan hasil.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata penyusutan nilai RM dibimbangi oleh ramai pihak tetapi apa yang berlaku ialah diluar kawalan kerajaan.

“Penyusutan nilai ringgit berlaku disebabkan tiga faktor iaitu kesan spekulasi melampau, pengumuman, kejatuhan harga minyak dunia dan kadar faedah dolar Amerika Syarikat.”

“Namun daripada 149 mata wang dunia, 123 daripadanya menghadapi penyusutan nilai banding dolar dan Malaysia tidak terkecuali. Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengalami kesan yang berada di luar kawalan kita,” katanya.

Najib juga berkata terdapat petanda dan bibit harapan bahawa keadaan ekonomi akan pulih dengan lebih positif tahun ini setelah berdepan dengan keadaan ekonomi dunia yang mencabar pada 2016.

Antaranya, harga minyak yang kini berada pada paras US$54 setong selepas Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), berbanding US$44 pada tahun lepas, katanya.

Harga minyak sawit juga kini berada pada paras yang memberangsangkan iaitu RM3,200 setan berbanding RM2,600 pada tahun lepas selain harga getah yang juga naik tiga kali ganda.

“Ini semua memberi kita keyakinan bahawa sekiranya kita dapat melakukan usaha-usaha gigih, kita dapat menjadikan tahun 2017 sebagai tahun berjaya,” katanya. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*