Hidangan Kambing Golek

Share This:

Hidangan kambing golek dan kambing bakar kini semakin popular pada setiap kali majlis kenduri anjuran penduduk di sekitar daerah Kerian dan utara Perak.Menyedari sambutan yang menggalakkan itu, pemilik Syarikat AZR BBQ Team Enterprise, Noor Muhammad Amzar Azman, 26, menawarkan hidangan ‘Kambing Golek BBQ’ sejak awal tahun lepas dan ia semakin mendapat permintaan dalam kalangan penduduk tempatan.

Mendapat cetusan ilham daripada ayahnya Chef Azman Ibrahim, 49, Noor Muhammad Amzar tidak menyangka resepi Kambing Golek BBQ yang diusahakannya mendapat sambutan begitu menggalakkan.

Walaupun terbabit dalam perniagaan utama keluarga iaitu perniagaan Warung Udang Lipan yang terkenal di Parit Buntar, beliau memutuskan untuk mencari kelainan dalam melebarkan sayap perniagaan bagi diri sendirinya.

“Berbanding adik beradik lain yang mahir masakan berasaskan udang lipan dan Melayu tradisional, saya lebih cenderung dengan seni masakan barat dan melihat potensi hidangan ‘Kambing Golek BBQ’.

“Saya membulatkan tekad untuk menfokuskan kepada perkhidmatan Kambing Golek BBQ untuk sebarang jenis majlis dan kenduri dan ternyata langkah yang diambil amat tepat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

KEUNIKAN SAJIAN

Noor Muhammad Amzar berkata beliau menerima tempahan 15 hingga 30 ekor Kambing Golek BBQ boer setiap bulan daripada pelanggan dengan pakej yang ditawarkan serendah RM1,200 hingga RM1,800 seekor.

AZR BBQ Team hanya menggunakan kambing Boer yang diimport dari Australia kerana ia lebih berkualiti daripada kambing tempatan termasuk dagingnya lebih lembut selain tidak berbau.

“Kambing golek kami diperap semalaman dengan rempah-ratus yang terpilih agar aroma rempah sebati dengan daging.

“Selain itu, AZR BBQ Team melaksanakan konsep memanggang pada hari kenduri selain tidak merebusnya terlebih dahulu sebagaimana yang diamalkan oleh banyak pihak,” katanya.

Noor Muhammad Amzar berkata daging kambing dipanggang kemudiannya akan dihidangkan bersama sos lada hitam istimewa, sup cendawan dan kentang lenyek secara ‘buffet’.

BANGKIT SELEPAS JATUH

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang… Demikiankanlah dengan perjalanan Noor Muhammad Amzar dalam meniti kejayaan dalam perniagaan kambing goleknya.

Noor Muhammad Amzar pernah mengalami kejatuhan apabila cawangan restoran Warung Udang Lipan yang diusahakannya di Bandar Sri Iskandar kira-kira 150 kilometer dari sini dengan modal RM100,000 pada 2013 gulung tikar setahun kemudian.

Beliau tidak menyangka faktor kenaikan kos harga barang dan sewa premis terlalu tinggi menyumbang kepada kegagalan perniagaannya.

“Setelah menutup operasi restoran itu, saya mengalami kerugian RM60,000 dan berasa amat tertekan kerana saya hampir muflis pada usia muda,” katanya.

Namun, didorong isteri dan keluarga tercinta Noor Muhammad Amzar membulatkan tekad untuk pulang ke kampung halaman dan merancang untuk kembali bangkit dengan mengusahakan perniagaan Kambing Golek BBQ.

“Saya bersyukur kerana pengalaman dalam kegagalan perniagaan lalu banyak mengajar erti kematangan dan kini saya dibantu empat tenaga pekerja,” katanya.

Noor Muhammad Amzar berkata di sebalik kejayaan dicapai, beliau tidak cepat berasa puas hati sebaliknya akan berusaha untuk memastikan hidangan Kambing Golek BBQ menjadi menu wajib setiap majlis keramaian dan kenduri di utara semenanjung Malaysia.

“Berbekalkan kualiti produk dan servis memuaskan, saya yakin pakej harga yang ditawarkan itu amat berpatutan terutama melibatkan majlis keramaian anjuran agensi kerajaan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menempah perkhidmatan katering Kambing Golek BBQ boleh menghubungi talian 018-9693266 dan 012-5693019. – BERNAMA

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*