Pendakwaan Tidak Dibuat Dalam Kes SRC International Kerana Tiada Kes

Sebenarnya penjelasan berkaitan kes syarikat SRC International Sdn Bhd yang didakwa melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah berkali-kali dibuat oleh pelbagai pihak.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata prosiding pendakwaan tidak dilaksanakan kerana siasatan mendapati tiada kes berkaitan syarikat itu.

Beliau berkata Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali akan memutuskan sama ada sesuatu kes akan didakwa di mahkamah atau sebaliknya untuk mengelakkan mana-mana pihak menyalahgunakan kuasa mereka, termasuk pihak yang menyiasat.

Abdul Rahman Dahlan yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) berkata jika pihak yang melalukan siasatan mempunyai niat untuk menganiaya orang yang disiasat, maka pihak yang mendakwa boleh menghalang.

“Kalau pihak penyiasat dan pendakwa pula bersengkokol untuk menganiaya orang yang disiasat dengan mendakwa orang yang disiasat itu, maka pihak mahkamah (hakim) boleh menjadi penghalang kepada niat buruk mereka itu.

“Itulah tujuan kenapa kuasa menyiasat, kuasa mendakwa dan kuasa menghukum itu diasingkan oleh sistem perundangan kita,” katanya dalam satu kenyataan media.

Abdul Rahman mengulas kenyataan bekas Pengarah Bahagian Siasatan Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohd Zin yang memilih untuk bersara awal kerana kecewa dengan kes SRC International.

Abdul Rahman berkata, pandangan Bahri dalam kes SRC semestinya benar dan pandangan Peguam Negara itu salah.

“Hanya kerana Peguam Negara tidak bersetuju dengan rumusan beliau, tidak bermakna Peguam Negara telah melakukan kesalahan dan tidak mempunyai integriti,” katanya.

Katanya, beliau pernah dimaklumkan semasa menjadi ahli Jawatankuasa SPRM Mengenai Rasuah dahulu bahawa banyak juga kes-kes yang disiasat oleh SPRM tidak dituduh di mahkamah oleh Peguam Negara atas berbagai sebab.

“Antaranya ialah kerana tidak cukup bukti, penyiasatan yang gopoh dan ketiadaan merit untuk pendakwaan,” katanya.

Bagaimanapun, dalam isu Bahri ini, pihak SPRM dikhabarkan sudah menghubungi beliau untuk mendapatkan penjelasan berhubung kenyataannya itu dan beliau menafikan ada mengeluarkan kenyataan berkenaan yang turut dipetik beberapa akhbar dan agensi media. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*