Mufti Perak Bidas Dakwaan Dr Mahathir Haji Yayasan 1MDB Tidak Mabrur

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya dibidas oleh Mufti Negeri Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria berhubung kenyataan beliau dalam satu ceramah yang mendakwa jemaah yang dihantar menunaikan haji melalui Program Khas Haji Perdana Menteri Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai bukan haji mabrur tetapi haram.

Menurut beliau, Dr Mahathir telah melakukan satu perbuatan yang melampau, seolah-olah mengambil urusan Allah dan beliau sebagai manusia sebenarnya tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara itu.

“Apa hak dia nak kata ibadat haji ini tidak mabrur, haram dan sebagainya sedangkan yang menentukan semua perkara itu adalah Allah SWT.

“Dia perlu sedar dalam bab syurga dan neraka ini bukan hak manusia, ia adalah hak mutlak Allah SWT, jadi dia macam nak ambil kuasa Tuhan pula dan pada saya ini sudah melampau,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika menyampaikan ceramah di Taman Wira Mergong, Alor Setar, baru-baru ini berkata, ibadat haji yang dilakukan menggunakan duit 1MDB tidak mabrur kerana wang tersebut berpunca daripada sumber yang haram.

Menurut Harussani, Dr Mahathir sudah berulang kali menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terlibat dengan skandal 1MDB sedangkan siasatan yang dilakukan membuktikan sebaliknya.

Harussani turut menasihati Dr. Mahathir agar berhenti daripada melakukan perkara yang tidak menguntungkan Islam dan negara.

“Sepatutnya kita sebagai orang Islam perlu bersatu, tetapi kita berpecah sedangkan Tuhan dah sebut dalam Al-Quran kalau kita bersatu kita akan berjaya,” ujarnya.

Bagaimanapun, apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir ialah satu penghinaan besar kepada jemaah haji yang sudah pun selesai menunaikan rukun Islam kelima itu sebelum ini atas tiket berkenaan melalui program itu. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE