2 Penyamun Cedera Parah Selepas Dikejar Dan Dilanggar Mangsa

Share This:

Awal pagi tadi, seorang wanita dipercayai bertindak nekad melanggar motosikal yang dinaik oleh dua penyamun dengan kereta yang dipandunya sejurus dia disamun ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran Evolve Mall di Ara Damansara.Insiden terbabit berlaku kira-kira jam 3.30 pagi. Mangsa, yang memandu kereta jenis Volkswagen Bettle secara bersendirian dikatakan berhenti di persimpangan lampu isyarat itu sebelum datang sebuah Kawasaki Ninja berhenti di sebelah kiri keretanya.

Sebelum lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba salah seorang dari dua suspek memecahkan cermin tingkap di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dan mengambil beg komputer riba mangsa sebelum melarikan diri.

Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya menyatakan bahawa mangsa yang berang kemudian mengejar motosikal suspek.

“Mangsa dipercayai berjaya mengejar motosikal suspek dan seorang saksi yang juga pengawal keselamatan yang sedang bertugas di premis berhampiran terdengar dentuman kuat” katanya.

“Pengawal terbabit kemudian dengar suara wanita menjerit ‘perompak’ sebanyak tiga kali sebelum bergegas ke tempat kejadian dan nampak dua lelaki jatuh daripada motosikal. Seorang daripada mereka cuba melarikan diri ke arah sebuah kantin di tapak pembinaan berhampiran” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, pengawal keselamatan itu berjaya menangkap kedua-dua suspek sebelum menghubungi pihak polis.

“Kedua-dua suspek yang cedera parah dalam kejadian itu dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan, manakala mangsa tidak cedera” jelasnya.

“Suspek adalah lelaki tempatan dan masing-masing berusia 26 tahun. Semakan mendapati mereka berdua mempunyai rekod jenayah lampau” jelasnya lagi.

-pru14.tv-

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*