Dorong Motivasi Senaman Melalui Perkongsian Sosial

Share This:

Amalan senaman bukan sesuatu yang boleh dilakukan sekali -sekala sahaja bagi mendapatkan manfaatnya. Ia perlu dikekalkan melalui amalan harian bagi mencapai tempoh masa yang dicadangkan iaitu sekurang-kurangnya 150 minit seminggu pada aktiviti bertahap sederhana ke tahap tinggi. Namun, banyak faktor yang menghalang individu dari menjadikannya sebagai aktiviti harian.

Perkembangan teknologi seperti telefon pintar dan aplikasi-aplikasinya banyak membantu individu dalam banyak perkara seharian. Bagi konteks aktiviti senaman, pelbagai aplikasi dibangunkan yang memudahkan individu untuk menjadikan senaman sebagai satu amalan hrain. Sama ada seseorang sedang cuba mengurangkan berat badan, berjalan lebih langkah dalam sehari, atau meluangkan masa yang terhad untuk bersenam, aplikasi-aplikasi senaman dan kecergasan boleh membantu. Oleh kerana pemilikan dan penggunaan telefon pintar adalah sangat meluas, ia boleh menjadi sebagai pemangkin untuk memastikan matlamat senaman tercapai.

Dalam ruangan terdahulu, penggunaan aplikasi senaman minit diulas bagi membantu individu mengatasi kekangan masa untuk bersenam (27 November 2016). Namun, masa bukanlah satu-satunya faktor yang menghalang indvidu dari mengamalkan aktiviti senaman. Kurang atau tiada motivasi merupakan pengahalang lain terhadap seseorang dalam pelbagai konteks lakuan termasuk senaman dan aktiviti fizikal.

Motivasi merupakan satu aspek diri individu yang sangat rumit. Tahap dan sumber yang membuatkan seseoarang bermotivasi adalah pelbagai. Sebagai contoh, sesetengah orang boleh menghabiskan masa yang lama dalam sesuatu aktiviti yang anda rasakan tidak bermakna dan tidak boleh meluangkan masa walau seminit pun dalam aktiviti lain yang anda rasa lebih menyeronokkan. Selain itu, bukan sesuatu yang luar biasa melihat seseorang berusaha dangan gigih dalam aktiviti yang anda rasakan membuang masa dan tenaga.

Secara umumya, motivasi merupakan satu perkara yang menerangkan sumber-sumber pencetus lakuan sama ada aspek luaran atau dalaman individu. Sumber-sumber motivasi ini akan menghasilkan satu permulaan sesuatu lakuan, hala-tuju lakuan tersebut, dan kegigihan dalam melakukannya. Dengan kata lain, ia menjelaskan tentang sebab-sebab penglibatan seseorang di dalam sesuatu aktiviti.

Motivasi seseorang boleh dijana oleh pelbagai sumber dalaman, luaran atau kedua-duanya sekali. Setiap individu mempunyai sebab-sebab tersendiri dalam melakukan sesuatu perkara. Bagi aktiviti senaman, ia mungkin disebabkan oleh matlamat untuk mendapatkan tahap kesihatan yang baik, untuk keseronokan dan kepuasan, melakukan sesuatu perkara yang baru, mendapatkan bentuk tubuh yang diingini, mahupun untuk bersama rakan-rakan dalam aktiviti tersendiri.

Malah, bagi sesetengah individu, aktiviti senaman tidak diteruskan disebabkan oleh kehilangan atau ketiadaan sumber motivasi tersebut seperti kurang keseronokan, dan tiada rakan atau teman untuk melakukannya.

Motivasi sosial
Aspek sosial merupakan antara pendorong motivasi yang kuat bagi kebanyakkan individu. Malah, bagi mereka, melakukan sesuatu aktiviti secara berkumpulan cenderung untuk memberikan lebih keseronokkan berbanding melakukannya berseorangan.

Dalam aspek ini, wujud pelbagai aplikasi telefon pintar dan komputer tablet yang membantu meyokong keperluan dorongan sosial ini. Antara aplikasi-aplikasi yang menerapkan elemen sosial adalah seperti Fitrocracy, Nike+GPS, RunKeeper, Teemo, Yog, Fit Friendzy, dan Edomondo membenarkan pengguna untuk mewujudkan jaringan sosial senaman tersendiri dan berkongsi pencapaian melalui laman sosial seperti Twitter dan Facebook.

Walaupun senarai ini tidak mewakili kesemua aplikasi yang ada dan mungkin bukan aplikasi yang terbaik, namun, senarai ini boleh dijadikan sebagai permulaan dalam pengunaan aplikasi yang sesuai dan berkesan dengan matlamat sosial masing-masing. Dalam hal ini, pembaca digalakkan untuk mencari aplikasi lain yang sesuai dengan keperluan dan kehendak masing-masing.

Sumber motivasi akan mencetuskan tenaga dan kegigihan dalam usaha individu. Dengan sumber tenaga yang positif, individu boleh mengekalkan dan mengarahkan tenaga ke arah mencapai satu matlamat dalam jangka masa yang panjang. Tenaga yang positif turut mampu menyumbang terhadap peningkatan prestasi para atlit melalui tahap usaha yang tinggi dan berterusan.

Tingkah laku yang bermotivasi juga sentiasa bermatlamat dan mempunyai arah tujuan. Penangguhan dalam sesuatu tugasan seperti latihan menunjukkan kepincangan dalam aspek motivasi. Selain itu, mereka yang mempunyai tahap motivasi tinggi cenderung untuk memberikan usaha yang gigih dan berterusan untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya.

Bagi sesetengah individu, dorongan sosial diperlukan bagi mencetuskan tahap motivasi yang lebih tinggi. Perkongsian aktiviti senaman yang dilakukan dan pencapaian-pencapaian yang diperolehi dilaman sosial melalui aplikasi telefon pintar dan komputer tablet mampu menyumbang terhadap pembentukaan tabiat senaman dan kecergasan yang lebih kukuh.

– Penulis ialah pensyarah psikologi senaman dan sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.

– Utusan

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*